MAKAN MALAM AMAL TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HPUSM, KUMPUL DANA RM64,000 UNTUK BANTU PESAKIT
KOTA BHARU, KELANTAN, 12 Januari 2025 – Majlis Makan Malam Amal Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) yang berlangsung di Hotel Perdana semalam berjaya mengumpul dana RM64,000 untuk membantu pesakit yang memerlukan meneruskan rawatan di HPUSM.
Majlis tersebut merupakan inisiatif yang diambil oleh pengurusan HPUSM dalam mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada pesakit melalui pelbagai kaedah perubatan dan perawatan.
Menurut Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab. Rahman Izaini Ghani @ Ab. Ghani, HPUSM sentiasa komited dalam menyediakan rawatan yang terbaik kepada para pesakit.
“Namun, masih terdapat pesakit yang menghadapi kekangan kewangan dalam mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
“Justeru, Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM ditubuhkan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik agar tidak dipinggirkan dan dapat menerima rawatan di HPUSM seperti pesakit-pesakit lain,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut.
Tambah Ab. Rahman Izaini, semua pihak sedia maklum dalam situasi ekonomi yang serba mencabar kini, tidak semua pesakit mampu menampung kos rawatan mereka.
“Oleh itu, peranan kita sebagai masyarakat prihatin amatlah penting untuk memastikan mereka tidak terpinggir dan mendapat hak untuk hidup dengan lebih sihat.
“Sepanjang tahun 2023, Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM telah membelanjakan sebanyak RM143,424.65 untuk membantu 57 orang pesakit yang kurang berkemampuan dan sehingga November 2024, seramai 68 orang pesakit mendapat manfaat daripada dana Tabung Kebajikan Pesakit yang menelan kos sebanyak RM206,398.50.
“Angka ini walaupun nampak agak besar, namun tidak semua pesakit berjaya dibantu ekoran kos perawatan yang semakin meningkat saban tahun. Kenaikan ini juga menunjukkan masih ramai yang mengharapkan pertolongan untuk membantu mereka meneruskan rawatan terutamanya golongan B40 dan asnaf,” jelasnya lagi.
Ab. Rahman Izaini turut memaklumkan bahawa pelbagai jenis bantuan dihulurkan kepada pesakit yang layak menerima dana tabung tersebut seperti bantuan peralatan perubatan, peralatan perubatan sokongan, prostesis dan orthosis, makanan khas dan ubat-ubatan yang tidak dibekalkan oleh HPUSM.
“Tabung ini juga diwujudkan dengan matlamat ingin meringankan beban kewangan pesakit yang memerlukan rawatan.
“Oleh itu, HPUSM berhasrat dan berjanji untuk terus berusaha bagi mengenakan caj rawatan seminima mungkin dengan slogan ‘Harga Marhaen, Kualiti Premium’.
“Setiap sen yang disumbangkan oleh para penderma akan digunakan dengan berhemat demi memberi peluang kepada mereka yang memerlukan untuk mendapatkan rawatan terbaik tanpa sebarang kompromi terhadap kualiti," ujarnya.
Ab. Rahman Izaini juga menjelaskan bahawa Majlis Makan Malam Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM bukan hanya bertujuan untuk mengumpul dana, tetapi sebagai satu platform mengeratkan tali persaudaraan dan semangat kebersamaan antara para penaja dalam usaha membantu sesama insan.
"HPUSM ingin mengajak semua pihak yang berkemampuan untuk turut serta dalam menyumbang kepada Tabung Kebajikan Pesakit ini.
"Setiap sumbangan yang diberikan pasti akan memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukan," terangnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar mewakili Menteri Besar Kelantan, Hilmi Abdullah; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Timbalan Pengarah (Digital) HPUSM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Timbalan Pengarah (Klinikal) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Makan Malam Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & R. Alia Fazni R. Azmi / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 11