KUMPUL DANA BANTU PESAKIT MISKIN DAN KURANG MAMPU: HOSPITAL USM ANJUR KARNIVAL AMAL BOLA SEPAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Mei 2024 - Bagi mempromosi dan mengumpul dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Unit Kerja Sosial Perubatan, Hospital USM mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Amal Bola Sepak Lelaki (U12), 40 Tahun Hospital USM, Piala Pengarah Hospital 2024, semalam.
Karnival yang merupakan kesinambungan kepada penganjurannya tahun lalu diberi nafas baharu sebagai Piala Pengarah Hospital USM 2024 diadakan bertujuan mengumpul sumbangan bagi membantu pesakit-pesakit miskin atau tidak berkemampuan ketika mendapatkan rawatan di Hospital USM.
Karnival yang berlangsung di Padang Bola Sepak, Kampus Kesihatan ini disertai oleh 31 pasukan dari negeri Kelantan, Pahang, Kedah dan Selangor.
Pasukan AT Kota Setar (Kedah) dinobatkan sebagai johan dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000, piala dan medal menewaskan pasukan Soccer Star Academy sebagai naib johan yang membawa pulang wang tunai RM1,500 dan medal.
Pengarah Hospital USM yang juga Pengerusi Tabung Kebajikan Pesakit, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman berkata, karnival ini bukan sahaja memberi peluang untuk bersama-sama melibatkan diri dalam pasukan yang diwakili, tetapi nilai yang lebih penting ialah semangat setia kawan, kerjasama dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain untuk mencapai kemenangan sebagai satu pasukan.
“Ia juga selari dengan objektif program ini iaitu untuk mengeratkan ukhuwah sesama kakitangan dan membina rangkaian dengan jabatan-jabatan luar.
“Dalam sesuatu perlawanan, menang atau kalah bukanlah ukuran penting untuk menentukan kualiti sesebuah pasukan, tetapi ia dinilai dari segi semangat kesukanan, bersatu padu, sikap menerima kekalahan dan meraikan pasukan yang menang,” ujarnya.
Tambah Nik Hisamuddin, karnival ini juga memberi peluang kepada orang perseorangan dan syarikat menghulurkan derma kepada golongan yang memerlukan sekaligus membuka peluang kepada mereka untuk menjalani rawatan yang sempurna seperti golongan lain yang berkemampuan.
“Ini secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada mereka untuk mendapatkan rawatan dan tidak berasa diri diketepikan," jelasnya lagi.
Nik Hisamuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan karnival itu termasuk pihak Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan juga kakitangan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan.
Sementara itu, Ketua Unit, Unit Kerja Sosial Perubatan Hospital USM, Shamsul Amri Sallehuddin, pula berkata, melalui program ini pasukan-pasukan bola sepak pelapis negara dapat berentap antara satu sama lain bagi menguji kekuatan dan kehandalan pasukan masing- masing.
“Karnival ini dapat memupuk semangat kesukanan dan merupakan aktiviti yang menyihatkan fizikal dan minda,” katanya.
Beliau turut berharap agar karnival seperti itu dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang sebagai usaha berterusan bagi memperkasa Tabung Kebajikan Pesakit Hospital USM.
Turut hadir ialah Pengarah Program Karnival Amal Bola Sepak Lelaki (U12), 40 Tahun Hospital USM Piala Pengarah Hospital 2024, Lizawaty Abu Bakar; para pengurus pasukan dan para jurulatih pasukan yang bertanding.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 38