KUALITI AIR TERJAGA ELAK PELBAGAI PENYAKIT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Oktober 2024 - Sebagai usaha mendidik masyarakat mencegah penyakit bawaan air dan makanan, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan Program Kesedaran Kebersihan Air dan Pencegahan Penyakit Bawaan Air dan Makanan di Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu pada 26 Oktober lalu.
Program yang turut mendapat kerjasama Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH), Hospital Pakar USM dan Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung Air Tawar Sentosa itu bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk tentang kepentingan penjagaan kualiti air serta pencegahan penyakit yang berpunca daripada air.
Melalui pendedahan yang disampaikan dalam program ini, penduduk dapat memahami kepentingan penggunaan air yang bersih dan selamat terutama bagi mereka yang masih bergantung kepada air telaga dan telaga tiub yang berisiko dicemari bahan kimia dan kuman.
Program yang disertai kira-kira 100 peserta ini diisi dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah pencemaran bahan kimia dalam air, demonstrasi cucian tangan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pameran penyakit bawaan air dan makanan serta banyak lagi.
Program ini diharap memberi maklumat berguna kepada penduduk kampung sebagai langkah proaktif yang bermanfaat dalam menjaga kesihatan masyarakat.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Tuan Noorkorina Tuan Kub
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 29