KSU SERTA DELEGASI KPT TINJAU PERKEMBANGAN PROJEK PEMBANGUNAN DI KAMPUS KESIHATAN USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Mei 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengadakan lawatan ke beberapa tapak projek di Kampus Kesihatan, hari ini.
Delegasi KPT yang diketuai oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama pengurusan Kampus Kesihatan USM.
Lawatan ini bertujuan memantau pelbagai projek pembangunan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang telah diluluskan sebelum ini di Kampus Kesihatan dan Hospital USM bagi memberi gambaran serta penjelasan hala tuju dan perancangan USM pada masa hadapan.
Delegasi pelawat dibawa meninjau projek-projek pembangunan di Bilik 'Oncall' Pegawai Perubatan, Wad Perubatan, Wad Psikiatri, Blok Kecemasan Lama dan yang terbaharu tapak projek Kompleks Klinik Pakar Pesakit Luar, Hospital USM.
Pengurusan USM mengalu-alukan lawatan delegasi KPT yang hadir meninjau secara langsung perkembangan projek-projek ini dan USM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di bawah payung KPT kekal komited untuk menawarkan program-program akademik berkualiti serta melaksanakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat segenap lapisan termasuk perkhidmatan rawatan.
Turut hadir menyertai lawatan ini ialah Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Bendahari USM, Rafizal Abd Rahim; Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USM, Ts. Arman Abdul Razak; Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM, pasukan gerak kerja JPPF Kampus Kesihatan USM, delegasi KPT, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia serta wakil Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU).
Teks: Siti Sri Mas Ismail/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 39