KLINIK BERGERAK HPUSM ANTARA TARIKAN DI FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Disember 2024 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menjadi rakan kolaborasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam penganjuran segmen Khidmat Madani : Festival Idea Putrajaya (FOI) yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 27 hingga 29 November lalu.
Festival yang menjadi platform dan tumpuan pengumpulan aktiviti perkongsian kearifan, kepakaran dan penjanaan idea itu turut menonjolkan kepakaran institusi pendidikan tinggi melalui program perkongsian keilmuan, persidangan dan pameran inovasi terkini.
HPUSM telah mengetengahkan perkhidmatan kesihatan klinik bergerak sebaris dengan perkhidmatan klinik bergerak dari Hospital Sultan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Fakulti Perubatan dan Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
HPUSM telah melengkapkan perkhidmatan kesihatan klinik bergerak ini dengan menawarkan saringan pemeriksaan kesihatan umum dan pameran berkaitan kesihatan payudara wanita. Pemeriksaan lanjut akan dilakukan sekiranya peserta mempunyai indikasi, antaranya ialah pengukuran tahap kolesterol, pemeriksaan jantung/ elektrokardiografi, pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan ultrabunyi payudara.
Daripada 619 orang peserta yang hadir, 100 orang telah melakukan saringan kesihatan payudara. Seramai 10 orang telah dirujuk ke fasiliti kesihatan berdekatan untuk masalah kesihatan payudara dan kesihatan kardiovaskular.
Di samping itu, para peserta juga diberi penerangan mengenai pemeriksaan sendiri payudara serta kuiz kesihatan bagi menguji tahap kafahaman dan pengetahuan am berkaitan kesihatan.
Selain itu, HPUSM turut terlibat dalam segmen Pameran Inovasi dan Idea Kreatif oleh pasukan Unit Perubatan Pemulihan melalui inovasi Super-T.
Turut hadir di festival ini ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Habibah A. Wahab; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah HPUSM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman dan Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Mohamad
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 28