KHATAN PERDANA: HPUSM PERKUKUH ILTIZAM BERSAMA KOMUNITI PENJARA KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN, 22 Januari 2025 - Khatan sering dikaitkan dengan kebersihan dan amalan agama serta dilihat sebagai perkara mustahak dalam ajaran Islam dan amalan sunnah serta diakui dalam pelbagai budaya dan masyarakat di seluruh dunia.
43 peserta terdiri daripada anak-anak warga Jabatan Penjara Negeri Kelantan hari ini dikhatankan menerusi Program Khatan Perdana dengan kerjasama Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Dewan Tan Sri Murad, Penjara Pengkalan Chepa. Kira-kira 50 petugas kesihatan pelbagai disiplin HPUSM turun padang untuk program kali ni.
Bukan sekadar proses berkhatan, program ini juga secara langsung mendidik komuniti berkenaan keselamatan serta langkah penjagaan selepas berkhatan dan apa perlu dilakukan sekiranya berlaku komplikasi lain.
Program berkhatan ini sinonim dengan iltizam HPUSM yang berusaha menjadi bukan sekadar agensi penyedia perkhidmatan perawatan perubatan, tetapi juga terus menerus mendekati komuniti melalui penyampaian ilmu untuk manfaat sejagat.
Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Penjara Negeri Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha; Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Kamarulzaman Ismail; Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Penolong Kanan Komisioner Ahmad Zulkarnain Abdul Khalid; Timbalan Pengarah Penjara Negeri Kelantan, Penguasa Penjara, Mohd Marzuki Ibrahim; Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria dan Ketua Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Krai Kelantan, Penguasa Penjara Ismawi Ismail.
Teks: Amyrulhan Azhari & R. Alia Fazni R. Azmi/ Foto: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 55