KETEPATAN DIAGNOSIS PERLU DIUTAMAKAN DEMI KESELAMATAN PESAKIT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 September 2024 – Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2024 peringkat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) bertemakan ‘Improving Diagnosis for Patient Safety’ dengan slogan ‘Get it Right, Make It Safe’, memberi penekanan kepada semua pengamal perubatan untuk memastikan pesakit didiagnosis dengan betul dan tepat pada masa sebagai satu keperluan yang kritikal dalam memastikan keselamatan pihak terbabit.
Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, proses diagnosis bermula daripada komunikasi antara pesakit dengan pengamal perubatan untuk mengenal pasti masalah kesihatan pesakit dan ia merupakan kunci utama untuk mengakses penjagaan dan rawatan yang mereka perlukan.
“Komunikasi yang jelas melalui proses diagnosis dengan pesakit merupakan perkara utama yang perlu dititikberat bagi memastikan pesakit dapat menjalani rawatan yang betul di hospital,” katanya.
Selain itu, menurut Nik Hisamuddin, faktor kompetensi, pengalaman pengamal perubatan, keletihan dan tekanan kerja turut menyumbang kepada berlakunya ralat diagnosis pesakit.
"Ralat diagnostik merupakan kegagalan untuk mewujudkan penjelasan yang betul dan tepat pada masanya berkenaan masalah kesihatan pesakit yang akan menyebabkan penangguhan dan kegagalan untuk menyampaikan penjelasan tersebut kepada pesakit.
"Secara statistiknya, terdapat kemungkinan sekurang-kurangnya satu ralat diagnostik dalam setiap individu. Magnitud ralat diagnostik ini boleh menyumbang kepada hampir 16 peratus (%) daripada bahaya yang boleh dicegah dalam sistem kesihatan," ujarnya ketika berucap dalam majlis perasmian yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, di sini.
Tambah Nik Hisamuddin, menambah baik proses diagnosis dapat menangani risiko ralat dan faktor utama yang dikenal pasti adalah kegagalan komunikasi yang berkesan antara pengamal perubatan dan pesakit, beban kerja yang berat selain kerja berpasukan yang tidak berkesan.
“Penglibatan semua pihak adalah perlu untuk meningkatkan keselamatan proses diagnostik pesakit kerana kesilapan dalam diagnosis bukan sahaja boleh mengubah perjalanan rawatan, tetapi juga boleh menjejaskan keseluruhan hasil penjagaan.
“Oleh itu, pengukuhan proses diagnosis adalah penting supaya setiap pesakit menerima rawatan yang betul dan tepat pada masanya,” jelasnya lagi.
Nik Hisamuddin turut menyarankan agar beberapa strategi utama dilaksanakan antaranya ialah memastikan bahawa setiap profesional kesihatan sentiasa dikemas kini dengan pengetahuan terkini melalui pendidikan berterusan dan latihan.
“Hal ini akan membolehkan mereka untuk membuat keputusan klinikal yang lebih baik dan mengurangkan kemungkinan kesilapan sekaligus mencapai matlamat ‘Get it Right, Make it Safe’,” katanya.
Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2024 Peringkat Hospital USM turut dimeriahkan dengan persembahan skesta dan dikir barat di samping pameran kesihatan dan reruai jualan makanan.
Hadir sama dalam program ini ialah Timbalan Pengarah (Sistem Pengurusan) Hospital USM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital USM merangkap Pengarah Program, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 15