KETAHUI TEKNIK RAWATAN AWAL STROK HABA MAMPU ELAK RISIKO KEMATIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2024 – Strok haba kini dikenal pasti sebagai salah satu penyakit paling berbahaya dalam kategori penyakit berkaitan kepanasan atau ‘Heat Related Illness’ yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Menurut rekod, pada suku pertama tahun 2024, terdapat 45 kes penyakit berkaitan kepanasan di Malaysia dengan dua (2) kematian akibat strok haba dan beberapa mangsa juga mengalami komplikasi serius yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syafiqah Adnan berkata, strok haba adalah sebahagian daripada spektrum penyakit berkaitan haba yang merangkumi beberapa tahap daripada paling ringan hingga paling berbahaya.
“‘Heat Related Illness’ terdiri daripada beberapa peringkat termasuk ‘Heat Edema’ (sembap kaki), ‘Prickly Heat’ (ruam panas), ‘Heat Cramp’ (kekejangan), ‘Heat Syncope’ (pitam), ‘Heat Exhaustion’ (keletihan haba) dan yang paling berbahaya ialah strok haba yang boleh membawa maut.
“Strok haba biasanya berlaku apabila tubuh tidak mampu mengeluarkan haba secara efektif akibat terdedah kepada suhu tinggi untuk jangka masa yang lama.
“Ini menyebabkan suhu badan mangsa melonjak melebihi 40 darjah celcius (°C) dan mangsa menunjukkan tanda-tanda seperti muka merah, kulit kering tanpa peluh dan yang paling ketara ialah kesedaran yang merosot ditambah gejala lain yang kita dapat lihat seperti pening, sakit kepala, muntah, sawan, dan kekejangan serta mangsa mungkin juga akan berjalan terhuyung-hayang dan menunjukkan tanda-tanda seakan-akan strok biasa tetapi dalam kes ini badan mereka terlalu panas,” katanya ketika ditemubual dalam slot Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Syafiqah, rawatan awal memainkan peranan penting dalam menangani strok haba kerana rawatan utama ialah dengan menyejukkan badan mangsa secepat mungkin terutamanya menggunakan ais.
“Lagi cepat mangsa disejukkan, lagi tinggi kadar sembuh dan risiko kematian atau komplikasi juga akan berkurang.
“Namun, masalah utama ialah kebanyakan mangsa tiba di hospital dalam keadaan yang sudah kritikal atau ‘Eleventh Hour’ di mana rawatan tidak lagi memberikan banyak kesan kepada mangsa.
“Rawatan awal boleh dilakukan oleh ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang pertama menemui mangsa. Ini termasuk memindahkan mangsa ke tempat yang sejuk, menanggalkan pakaian, menggunakan kipas atau semburan air serta meletakkan ais di badan mangsa jika ada,” katanya lagi.
Syafiqah berkata, bagi mengurangkan risiko strok haba, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti luar terutamanya semasa gelombang haba dan melakukan aktiviti pada waktu yang kurang panas seperti pagi atau petang.
“Selain itu, orang ramai juga boleh memakai pakaian yang nipis, longgar, memilih warna yang tidak menyerap haba serta disaran untuk minum air sebanyak mungkin walaupun tidak dahaga dan elakkan minuman yang beralkohol sebelum atau semasa melakukan aktiviti luar.
“Strok haba juga boleh terjadi kepada bayi dan warga emas terutama jika terdedah secara terus kerana sistem penyejukan badan mereka kurang berfungsi dengan baik dan tubuh mereka tidak dapat mengawal suhu dengan baik,” jelasnya.
Syafiqah turut menasihatkan golongan yang berisiko seperti jemaah haji dan umrah mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya termasuk meminum air secukupnya dan menjaga suhu badan sepanjang menunaikan ibadah.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 26