Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

KESIHATAN DIGITAL BANTU TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2024 – Kesihatan digital (Digital Health) merupakan penggunaan teknologi digital seperti komputer, perisian, peranti dan sensor bertujuan meningkatkan taraf kesihatan dan perkhidmatan kesihatan.

Ia meliputi pelbagai konsep dalam bidang teknologi dan kesihatan seperti perkhidmatan kesihatan jarak jauh (telemedicine), rekod kesihatan elektronik (EHRs), rekod perubatan elektronik (EMRs), aplikasi kesihatan mudah alih (Mobile Health), peralatan boleh pakai (Wearable Device), dan penjagaan kendiri (Personalized Care).

Dalam tempoh lima (5) hingga 10 tahun kebelakangan ini, teknologi kesihatan digital dilihat semakin berkembang seiring dengan arus pemodenan. Sebelum ini, ia hanya digunakan di peringkat pengendali hospital, namun kini diperluaskan kepada individu dalam masyarakat dan contoh paling ketara ialah penggunaan aplikasi MySejahtera semasa pandemik COVID-19.

thumbnail SS 290424

Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Afiq Izzudin A. Rahim berkata, teknologi ‘digital health’ dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perubatan melalui pelbagai cara.

"Penggunaan aplikasi MySejahtera banyak membantu semua pihak dari segi pengesanan kontak rapat, saringan kesihatan, tempahan janji temu vaksinasi dan lain-lain lagi.

"Melalui teknologi ‘telemedicine’ pula, ia membolehkan konsultasi jarak jauh antara pesakit dan doktor seterusnya memudahkan akses kesihatan bagi pesakit di daerah terpencil dan mengurangkan waktu menunggu serta menjimatkan kos perjalanan.

"Begitu juga dengan penggunaan peranti pintar yang membantu memantau denyut nadi, tahap oksigen dan tekanan darah selain mampu memberi isyarat kecemasan kepada waris sekiranya bacaan tersebut tidak normal dan penguna terbabit rebah atau pengsan," jelasnya semasa ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Menurut Afiq Izzudin, teknologi 'digital health' seperti ‘Electronic Medical Record’ pula membantu membekalkan capaian maklumat terhadap tahap kesihatan seseorang pesakit.

"Maklumat ini turut boleh dicapai oleh mana-mana hospital lain. Manakala melalui teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence -AI), individu yang menghidap tibi mampu didiagnosis dan dikenal pasti hanya melalui 'x-ray'.

“Melalui inovasi-inovasi ini, ia membantu menghasilkan data secara 'real-time' selain memberikan akses yang lebih mudah, tepat, secara holistik dan menyeluruh,” ujarnya lagi.

Tambah Afiq Izzudin, perkembangan kesihatan digital memberi manfaat yang baik kepada seluruh masyarakat.

“Antara manfaat kesihatan digital adalah pencegahan sebelum rawatan.

"Teknologi kesihatan digital membantu memantau dan mengesan gejala secara berkala. Ini membolehkan diagnosis awal terhadap perubahan penting dalam perkembangan penyakit kepada individu yang dianggap berisiko.

“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan doktor dengan pesakit melalui penyediaan akses langsung dan perkongsian status kesihatan pesakit serta keterbukaan dan kerjasama ini dapat meningkatkan kepercayaan dan komunikasi antara pesakit dan profesional perubatan," katanya.

Jelas beliau, kaedah ini juga mampu mengurangkan beban kerja profesional kesihatan dan membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa berinteraksi serta memantau pesakit.

"Namun, terdapat beberapa cabaran kepada orang awam terhadap penggunaan teknologi kesihatan digital terutamanya dalam hal-hal berkaitan isu privasi, keselamatan data, ketepatan, kebolehpercayaan, tahap literasi digital, infrastruktur yang mencukupi dan penyambungan internet yang boleh dipercayai."Masalah privasi dan keselamatan data merupakan isu global yang masih diperkatakan sehingga kini. Justeru, ia menjadi keutamaan kepada para pembangun aplikasi untuk memberi tumpuan terhadapnya dan masyarakat perlu memberi kepercayaan terhadap aplikasi yang dibangunkan terutama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ulasnya lagi.

Menurut Afiq Izzudin, Infrastruktur yang mencukupi dan penyambungan internet yang boleh dipercayai adalah penting untuk operasi yang lancar.

"Di kawasan dengan penyambungan yang lemah atau akses terhad kepada teknologi, individu mungkin menghadapi cabaran dalam menggunakan alat-alat ini dengan berkesan.

“Walaupun teknologi kesihatan digital menawarkan pelbagai manfaat untuk pengurusan kesihatan peribadi, pengguna perlu sedar dan bersedia menangani cabaran ini untuk memaksimumkan keberkesanan serta keselamatan teknologi ini untuk kegunaan peribadi," ujarnya.

Tambah beliau, masa depan kesihatan digital kini sedang melalui proses perkembangan dan ini dapat dilihat melalui perkembangan revolusi industri pada hari ini.

"Revolusi industri 4.0 dilihat memfokuskan kecekapan sistem, produktiviti dan sebagainya manakala melalui revolusi industri 5.0 lebih memfokuskan teknologi yang dibuat secara personal khusus untuk individu.

"Sebagai contoh aplikasi media sosial dalam telefon pintar kini menggunakan algoritma mengikut minat pengguna.

“Pelaksanaan teleperubatan akan dapat merapatkan lagi jurang antara penyedia kesihatan dan pesakit tidak kira di mana mereka berada samada di bandar atau di kawasan terpencil," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan ini juga memberi kuasa kepada individu untuk memantau sendiri kesihatan mereka secara aktif dan sekiranya perlu, individu berkenaan boleh hadir ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 34