KESELAMATAN PESAKIT TANGGUNGJAWAB BERSAMA - NIK HISAMUDDIN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 September 2023 - Hari Keselamatan Pesakit Sedunia atau lebih dikenali sebagai ‘World Patient Safety Day’ disambut pada 17 September setiap tahun secara global.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan keselamatan pesakit sebagai keadaan di mana tidak berlaku sebarang kemudaratan yang boleh dicegah kepada pesakit dan usaha yang diambil bagi mengurangkan risiko kemudaratan kepada pesakit seminima mungkin.
Menurut Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman, data terkini dari WHO menunjukkan sekitar satu (1) dalam setiap 10 pesakit terjejas dalam penjagaan kesihatan dan lebih daripada tiga (3) juta kematian berlaku setiap tahun disebabkan penjagaan kesihatan yang tidak selamat.
"Di negara berpendapatan rendah dan sederhana pula, sebanyak empat (4) dalam 100 orang pesakit meninggal akibat penjagaan yang tidak selamat.
"Perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak adalah lebih 50 peratus (%) daripada bahaya (insiden) yang berlaku ini boleh dicegah dan separuh daripada bahaya (insiden) ini adalah disebabkan oleh kesilapan dalam pengurusan ubat-ubatan,” katanya ketika berucap di Majlis Bersama Pengarah Hospital USM Siri 5 sempena Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2023 Peringkat Hospital USM, hari ini.
Nik Hisamuddin berkata, penjagaan kesihatan adalah kerjasama yang perlu dimainkan oleh semua pihak yang terlibat dan berpaksikan pesakit itu sendiri.
“Adalah amat penting terutamanya dalam mendapatkan keizinan bermaklumat atau ‘informed consent’ daripada pesakit.
“Sering kali pengambilan keizinan bermaklumat ini dijadikan hanya sebagai formaliti iaitu mengisi borang dan menurunkan tandatangan dengan andaian bahawa pesakit bersetuju dengan apa sahaja perawatan yang kita tawarkan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana yang paling layak membuat keputusan perawatan adalah pesakit yang menerima rawatan itu sendiri,” jelasnya lagi.
Tambah Nik Hisamuddin, sebagai pegawai perubatan yang bertanggungjawab, kita perlu membantu pesakit membuat sebarang keputusan dan bukan membuat keputusan untuk mereka.
"Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2023 Peringkat Hospital USM diadakan untuk meningkatkan pemahaman mengenai keselamatan pesakit, meningkatkan penglibatan orang ramai dalam keselamatan perawatan kesihatan dan mempromosi tindakan secara global untuk mencegah serta mengurangkan bahaya yang dapat dielakkan dalam perawatan kesihatan.
"Pada tahun ini, sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia bertemakan 'Engaging Patients For Patient Safety' yang memfokuskan penglibatan pesakit, keluarga dan penjaga mereka secara aktif dalam memastikan penjagaan yang selamat.
"Penglibatan ini terbukti memberi impak yang ketara dalam memastikan pesakit selamat, meningkatkan kadar kepuasan pesakit dan seterusnya tahap kesihatan pesakit," ujarnya.
Nik Hisamuddin turut menjelaskan bahawa pengurusan Hospital USM sentiasa memastikan proses yang terlibat dalam pengurusan pesakit sentiasa dikemas kini dan ditambah baik menerusi polisi, prosedur operasi standard dan garis panduan klinikal bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang efesien, efektif dan berpaksikan pesakit.
"Saya berharap agar semua pihak memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran tentang pentingnya peranan pesakit serta waris dalam mengekalkan standard keselamatan dalam penjagaan kesihatan," katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Insfrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraff Mohamed Daud dan Timbalan Pengarah (Klinikal), Profesor Dr. Zaidi Zakaria merangkap Pengerusi Program sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia.
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan & Siti Amirah Mohd Ruslam (Pelajar Latihan Industri UNIMAP) / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 101