KESELAMATAN PESAKIT DI HOSPITAL: SEMUA PIHAK MAIN PERANAN PENTING
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Julai 2024 - Keselamatan pesakit merupakan prinsip utama dalam penjagaan kesihatan untuk memastikan pesakit selamat dan mencegah kejadian yang tidak diingini berlaku.
Ia merupakan kemaslahatan sejagat, di mana statistik yang dikeluarkan oleh ‘World Health Organisation’ (WHO) menunjukkan secara globalnya hampir satu (1) daripada 10 orang pesakit mendapat kesan buruk akibat penjagaan kesihatan yang tidak selamat. Angka ini menyamai sejumlah tiga (3) juta kematian setiap tahun di seluruh dunia dan lebih separuh daripada punca kematian ini sebenarnya boleh dicegah.
Perkara ini sangat perlu diberi perhatian oleh semua individu yang terlibat dalam penjagaan kesihatan. Oleh itu, sebagai sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU), matlamat utama bagi Hospital USM adalah memastikan penjagaan klinikal yang diberikan adalah selamat, efektif, cekap, tepat pada masanya, berpaksikan pesakit dan adil untuk semua.
Ketua Perkhidmatan Keselamatan Pesakit dan Pengurusan Risiko, Unit Klinikal, Hospital USM, Dr. Juhaida Daud berkata, keselamatan pesakit bermaksud ketiadaan bahaya ketika menjalani rawatan di hospital.
“Keselamatan pesakit dari aspek penjagaan kesihatan adalah amalan-amalan yang perlu dipraktikkan bagi mencegah kemudaratan kepada pesakit semasa menjalani rawatan. Ia bermula ketika pesakit membuat pendaftaran untuk mendapat rawatan di hospital atau fasiliti kesihatan sehinggalah pesakit dibenarkan keluar daripada hospital atau selesai rawatan di klinik.“Terdapat enam (6) matlamat utama dalam memastikan keselamatan pesakit iaitu mendapatkan pengenalan diri pesakit yang betul, berkomunikasi dengan berkesan, memastikan keselamatan dalam pengurusan ubat-ubat berisiko tinggi, memastikan pembedahan yang selamat, mengurangkan risiko jangkitan yang berkait dengan penjagaan kesihatan dan kurangkan risiko kecederaan akibat jatuh ketika berada di premis kesihatan.
“Semua pengamal perubatan perlu mengamalkan enam (6) matlamat utama ini bagi memastikan keselamatan pesakit sepanjang proses perawatan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Juhaida, pesakit juga perlu tahu mengenai hak-hak mereka semasa menerima rawatan dan bertanggungjawab untuk terlibat secara aktif dalam perancangan rawatan serta membuat keputusan bersama pihak perubatan di hospital.
Ujarnya lagi, bidang perubatan pada masa kini berkembang pesat sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan apabila pesakit mendapatkan rawatan di hospital, mereka akan dirawat oleh pelbagai kepakaran, melalui pelbagai prosedur rawatan, menggunakan pelbagai mesin atau alat perubatan serta menerima pelbagai jenis ubat.
“Jadi, terdapat prosedur atau rawatan yang boleh memberi bahaya atau risiko kepada pesakit.
“Oleh itu, sangat penting untuk kita mengambil langkah yang perlu bagi mengurangkan kemudaratan kepada pesakit dan semua pengamal perubatan perlu bertanggungjawab memastikan rawatan yang diberikan adalah selamat, tepat dan kurang risiko atau komplikasi terhadap pesakit.
“Pesakit juga perlu cakna dengan setiap penerangan yang diberikan oleh doktor bagi memastikan kefahaman dan ambil peluang untuk bertanya soalan jika ada sebarang keraguan,” katanya.
Juhaida turut menjelaskan bahawa maklumat yang tepat dari pesakit amat penting bagi memastikan doktor membuat rumusan diagnosis yang tepat, perancangan rawatan yang selamat dan pesakit sembuh dari penyakit.
Beliau berkata, pesakit juga perlu bekerjasama dengan pengamal perubatan ketika menjalani rawatan contohnya jururawat atau doktor akan sentiasa bertanya nama penuh dan mendapatkan pengenalan diri melalui kad pengenalan untuk memastikan rawatan dan ubat diberikan kepada pesakit yang betul.
“Proses mendapatkan pengenalan diri ini akan sentiasa berulang dan dilakukan setiap kali sebelum sebarang prosedur klinikal atau pembedahan dijalankan agar pesakit menerima rawatan yang sepatutnya.
“Selain daripada pesakit dan pengamal perubatan, ahli keluarga yang datang melawat atau menemani pesakit juga bertanggungjawab memastikan keselamatan pesakit dengan sentiasa mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan di dalam wad bagi mengurangkan risiko jangkitan sepanjang berada di hospital.
“Hospital USM juga membantu menyediakan kemudahan kerusi roda bagi kegunaan pesakit yang tidak mampu berjalan agar risiko jatuh dapat dikurangkan,” ulasnya lanjut.
Menurut Juhaida, keselamatan pesakit adalah usaha berterusan yang dijalankan oleh Hospital USM untuk meningkatkan kualiti dan memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Walau bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama semua pengamal perubatan dan pesakit serta ahli keluarga pesakit agar perawatan yang diberikan adalah selamat dan memenuhi keperluan pesakit,” jelasnya.
Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff / Reka Grafik: Mohd Rody Mohd Amin
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 37