KERJASAMA AMELS DAN UPT BANTU TAMBAH BEKALAN DARAH MENJELANG LEBARAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mac 2024 – Bagi membantu menambah bekalan darah di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Unit Perubatan Transfusi (UPT) dengan kerjasama Persatuan Sains Makmal Perubatan (AMeLS) USM telah menganjurkan Program Derma Darah Mega Pra Lebaran 2024, semalam.
Program yang bertemakan ‘Setitik Darah, Sejuta Harapan’ berjaya mengumpul 137 beg darah dilihat memberi peluang kepada penderma khususnya warga Kampus Kesihatan USM dan komuniti sekitar untuk menderma darah. Selain itu, ia juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menderma darah dan kebaikan kepada tubuh badan penderma.
Keunikan program kali ini adalah dengan berlangsungnya tiga (3) sesi pendermaan iaitu sesi pertama pada jam 5.00 petang hingga 7.00 malam bagi penderma bukan beragama Islam, sesi kedua pada jam 8.00 hingga 10.00 malam dan sesi ketiga pada jam 10.00 hingga 11.00 malam terbuka kepada semua masyarakat.
Pengisian program kali ini turut diisi dengan sesi ceramah berkaitan tips menderma darah di bulan Ramadan pada 25 Mac lalu untuk memberi kesedaran mengenai keperluan menderma darah serta pendedahan berkenaan syarat-syarat yang perlu diketahui oleh penderma sebagai persediaan kendiri sebelum menderma darah.
Program yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM itu turut dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah dan jamuan berbuka puasa.
Pengurusan Hospital USM sentiasa komited menyokong penganjuran aktiviti sebegini dalam usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit di musim perayaan.
Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 164