KEPENTINGAN KEMAHIRAN PENGENDALIAN KEMOPOT DALAM PERAWATAN KANSER
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Mac 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerusi Unit Klinikal telah menganjurkan Bengkel Pengendalian Kemopot dalam Perawatan Kanser bagi memberi pemahaman mendalam tentang prosedur pemasangan dan penggunaan kemopot kepada Jururawat serta Penolong Pegawai Perubatan HPUSM pada 20 Februari lalu.
Bengkel ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran staf dalam memastikan keselamatan pesakit sepanjang proses penjagaan kemopot daripada pemasangan sehingga pemeliharaannya termasuk pengesanan masalah serta penjagaan kemopot dengan betul.
Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kecekapan staf dalam memberi penerangan kepada pesakit mengenai prosedur dan penjagaan selepas pemasangan kemopot serta mengenal pasti dan menguruskan komplikasi yang mungkin timbul seperti jangkitan atau kebocoran.
Bengkel yang mendapat kerjasama Mediwide Sdn. Bhd. ini diadakan sempena sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM 2025. Bengkel ini diharap menjadi satu langkah penting dalam meningkatkan pemahaman dan kemahiran Jururawat serta Penolong Pegawai Perubatan dalam menguruskan rawatan pesakit kanser selain membantu pesakit menerima rawatan yang lebih berkualiti dan selamat.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Shahrizal Mustaffa
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 21