Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

KENALI PENYAKIT OSTEOARTRITIS DAN RAWATAN SENDI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Jun 2024 - Osteoartritis adalah sejenis penyakit sendi yang banyak dialami oleh pesakit peringkat umur tua.

Secara dasarnya, osteoartritis berlaku apabila tulang rawan antara dua (2) permukaan tulang dalam sendi menipis dan terhakis menyebabkan dua (2) permukaan tulang tanpa rawan yang membentuk sendi akan bergeser.

IMG 20240619 WA0022

Menurut Pensyarah Kanan yang juga Pakar Perunding Ortopedik dan Artroplasti, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Shaifuzain Ab. Rahman, hal ini akan menyebabkan kesakitan ketika pergerakan sendi berlaku terutama semasa berdiri dan berjalan yang mana proses kerosakan sendi sebegini dinamakan proses degeneratif.

“Osteoartritis boleh menjejaskan semua sendi sinovial pada tubuh, tetapi ia lebih kerap melibatkan sendi lutut dan pinggul kerana sendi ini menanggung beban berat badan.

“Disebabkan itu, kita perlu tahu sendi di bahagian pinggang, tulang belakang, bahu dan tangan juga adalah antara sendi lain yang boleh terlibat dengan osteoartritis,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Beliau berkata, osteoartritis boleh dibahagikan kepada dua (2) iaitu osteoartritis primer (OP) dan osteoartritis sekunder (OS).

“Kebanyakan pesakit OP adalah kerana peningkatan usia atau proses penuaan. Jantina wanita juga adalah di antara faktor yang dikaitkan dengan risiko untuk mendapat OP.

"Melalui pelbagai kajian, risiko menghidap penyakit ini adalah 5:1 di mana wanita lebih cenderung untuk mendapat osteoartritis berbanding lelaki.

“Faktor lain seperti berat badan berlebihan (obesiti) dengan ‘Body Mass Index’ (BMI) melebihi dari 28 juga telah dikenal pasti sebagai mempunyai risiko tinggi untuk mendapat OP," jelasnya lagi.

Shaifuzain berkata, OS pula terjadi disebabkan oleh faktor luaran yang bertindak ke atas rawan sendi sehingga menyebabkan gejala osteoartritis terjadi.

“Faktor yang memberi kesan buruk kepada sendi adalah jangkitan kuman dan kepatahan lampau yang melibatkan sendi serta penyakit seperti ‘Rheumatoid Artritis’ dan ‘Gouty Artritis’.

“Pergerakan geseran sendi yang bergerak dalam jangka masa lama dan berulang juga boleh menyebabkan kerosakan yang teruk terutamanya sendi yang menanggung berat badan seperti sendi lutut, pinggul dan buku lali,” terangnya.

Tambah Shaifuzain, berdasarkan data, penyakit sendi atau artritis di seluruh dunia dilaporkan kira-kira 65 hingga 80 peratus (%) adalah dari jenis osteoartritis.

“Secara amnya, rawatan untuk penyakit osteoartritis boleh dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu rawatan ubatan, fisioterapi, suntikan intra-artikular serta rawatan pembedahan.

“Bagi mengesan osteoartritis pula, pesakit perlu menjalani pemeriksaan sinar-x atau 'x-ray' pada sendi untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.

"Pemeriksaan ‘x-ray’ adalah penting untuk membantu pakar perubatan membuat perancangan tentang rawatan yang bersesuaian dengan tahap osteoartritis pesakit tersebut,” katanya lagi.

Jelas beliau, tanda fizikal bagi penyakit osteoartritis ini biasanya bergantung kepada tahap kesakitan pesakit yang akan mengalami lenguh pada sendi yang terlibat.

"Pesakit akan berasa sakit atau tidak selesa ketika pergerakan dan sendi mengalami bunyi ‘crepitus’.

“Pesakit juga biasanya mengalami perubahan fizikal yang lebih ketara pada sendi seperti lutut kelihatan pengkar ke dalam dengan lebih jelas dan perlu menggunakan alat sokongan seperti tongkat, ‘crutches’ atau ‘walking frame’ untuk menampung kesakitan dan ketidak stabilan pada sendi yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata, apabila pesakit sudah berada pada tahap tersebut, ubat penahan sakit atau ‘pain killer’ digunakan untuk membantu mengurangkan kesakitan dan meningkatkan aktiviti harian pesakit.

“Selain itu, antara ubatan lain seperti ‘Glucosamine’, ‘Hyaluronic Acid’ (HA) dan rawatan ‘Platelet Rich Plasma’ (PRP) untuk mengurangkan inflammasi dalaman dan membantu membaiki kerosakan rawan dari dalam sendi turut diberikan, bergantung kepada tahap osteoartritis yang dialami pesakit.

“Penggunaan ubat terkini seperti ‘Mobithron Advance’ yang mengandungi ‘Hyaluronic Acid, Type II Collagen’ dan ekstrak herba ‘Boswellia Serrata’ juga boleh membantu menstabilkan tulang rawan bagi mengurangkan hakisan akibat geseran sendi,” ulasnya lanjut.

Shaifuzain turut menasihatkan orang ramai agar lebih cakna untuk datang lebih awal berjumpa pakar perubatan apabila mempunyai tanda fizikal atau perubahan pada sendi badan.

“Pakar tulang (Ortopedik) atau pakar bedah sendi (Artroplasti) akan membantu pesakit sekiranya memerlukan rawatan lanjut atau pembedahan," katanya.

Teks: Marlina Zahari / Reka Grafik: Mohd Rody Mohd Amin

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 12