KELAHIRAN 14 BAYI WARNAI SAMBUTAN MERDEKA HOSPITAL USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 September 2024 - Merdeka! Merdeka! Merdeka! itulah kalimat keramat yang dilaungkan setiap kali sambutan hari Kemerdekaan negara pada tarikh 31 Ogos setiap tahun.
Seramai 14 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) ketika negara menyambut Hari Kebangsaan Ke-67, semalam.
Daripada jumlah itu, sembilan (9) adalah bayi lelaki dan lima (5) bayi perempuan yang dilahirkan secara normal dan pembedahan.
Pada tahun ini, Hospital USM tidak ketinggalan menyambut kelahiran bayi merdeka dengan sambutan majlis keraian di Wad 1 Berlian. Majlis tersebut dimeriahkan dengan pemberian hamper dan barangan bayi kepada keluarga bayi berkenaan di samping sumbangan kek hiasan Jalur Gemilang yang turut disampaikan oleh Co-opbank Pertama Cawangan Kota Bharu.
Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Rizuyan Dollah, 41, beliau amat teruja dan bersyukur dikurniakan bayi perempuan pada tarikh keramat itu.
Menurutnya, tarikh kemerdekaan negara sangat istimewa dan akan diingati sentiasa.
"Tarikh keramat 31 Ogos sentiasa dinantikan kerana ia merupakan hari kemerdekaan negara, maka saya amat berbangga apabila anak kelima saya dilahirkan pada tarikh ini yang disambut meriah oleh semua rakyat Malaysia pada setiap tahun.
"Alhamdullilah isteri saya, Azlina Ariffin, selamat melahirkan anak perempuan kami kira pukul 10.00 pagi dan saya turut berterima kasih kepada pihak Hospital USM yang menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan efisyen bagi menyambut kelahiran bayi," katanya.
Sementara itu, seorang ibu bayi merdeka, Siti Suria Razali, 33, yang selamat melahirkan anak kelimanya berkata, dia amat teruja bayinya dilahirkan pada tarikh 31 Ogos.
"Alhamdullilah, saya selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 5.22 pagi dan saya sebenarnya tidak menjangka anak saya akan lahir awal kerana tarikh sebenar dijangka seminggu lagi.
"Apapun, terima kasih kepada para doktor serta jururawat Hospital USM yang menyambut kelahirkan anak saya," ujarnya gembira.
Seorang lagi ibu yang ditemu bual, Nur Baitul Aqmal Mokhtar, 33, berkata, dia amat teruja dan gembira di atas kelahiran bayi perempuan pada tarikh keramat itu.
"Sepatutnya anak saya lahir dalam masa tiga (3) minggu lagi, namun kali ini kelahiran anak ketiga saya begitu cepat dan mudah.
"Walaupun anak saya lahir dengan berat hanya 2.3 kilogram, namun dia sihat dan saya bersyukur dengan kecekapan petugas dan para doktor yang membantu memudahkan urusan bersalin saya," ujarnya.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 19