KAYUHAN AMAL 40 TAHUN HOSPITAL USM SEMARAK SEMANGAT KESUKANAN DAN JALINAN KERJASAMA DENGAN KOMUNITI
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Februari 2024 – Sempena Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kelab Basikal Kampus Kesihatan atau 'Universiti Sains Malaysia Cycling Club' (USMCC) telah menganjurkan Program Kayuhan Amal 40 Tahun Hospital USM, hari ini.
Kira-kira 240 peserta termasuk dari luar Kelantan menyertai program kayuhan sejauh 40 kilometer (km) ke Bachok bermula dan tamat di Kompleks Sukan 1.
Kayuhan amal ini bukan sekadar aktiviti rekreasi tetapi juga merupakan usaha murni untuk mendekatkan masyarakat dengan Hospital USM di samping meningkatkan kesedaran tentang amalan dan cara hidup sihat selari dengan tema Sambutan 40 Tahun Hospital USM : Peneraju Ilmu, Pemacu Perkhidmatan Penyayang.
Program Kayuhan Amal 40 Tahun Hospital USM ini juga turut menyumbang kepada Tabung Kebajikan Pesakit Hospital USM supaya manfaat dapat dikongsi bersama pesakit yang memerlukan.
Hadir merasmikan program ini ialah Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria yang mewakili Pengarah Hospital USM. Turut hadir ialah Yang Menjalankan Fungsi Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Presiden Kelab USMCC Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Andee Dzulkarnaen Zakaria; Pengarah Program Kayuhan Amal 40 Tahun Hospital USM, Profesor Dr. Tengku Muzaffar Tengku Mohamed Shihabudin; Timbalan Pengarah Keselamatan, Kampus Kesihatan USM, Eady Othman dan Setiausaha Kehormat Presiden Berbasikal Negeri Kelantan, Norhazlee Md. Zaki.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 61