Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

KANSER PAYUDARA: STIGMA DAN MITOS PENGHALANG PENGESANAN AWAL

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Mac 2024 - Statistik beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan kes-kes kanser dengan kanser payudara mempelopori carta teratas bagi 10 jenis kanser yang paling biasa wujud di Malaysia.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization – WHO) pada tahun 2020 menunjukkan bahawa 2.3 juta rakyat dunia menghidap kanser payudara dengan jumlah kematian mencecah 685,000 orang.

IMG 20240307 WA0035

Lebih membimbangkan, sebanyak 4,364 purata kes kanser payudara telah dilaporkan di Malaysia setiap tahun berdasarkan NCR data 2012-2016. Sumber dari Globocon 2020 pula menyatakan peningkatan kes yang ketara dua (2) kali ganda di Malaysia sebanyak 8,418 kes pada tahun 2018 dengan jumlah kematian sebanyak 2,894 pada tahun yang sama.

IMG 20240307 WA0036

Menurut Pakar Perunding Patologi (Payudara dan Endokrin) yang juga Penyelaras Penyelidikan, ‘Breast Cancer Awareness and Research Unit’ (BestARi), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman, kanser merujuk kepada sel dalam badan manusia yang telah hilang kawalan mekanisma menyebabkan ia berkembang biak secara luar biasa sehingga membentuk ketumbuhan serta merebak dengan cepat ke bahagian badan yang lain sekiranya lambat dikesan.

“Apabila sel yang bertukar menjadi kanser ini terjadi pada sel normal yang melapisi salur susu pada payudara wanita, maka keadaan tersebut dipanggil kanser payudara.

“Tanda-tanda kanser perlu difahami oleh semua orang kerana tidak semua perubahan pada payudara adalah kanser. Orang ramai terutamanya kaum hawa perlu mengenal pasti setiap perubahan yang berlaku pada payudara yang berkemungkinan merupakan tanda-tanda kanser payudara dan segera mendapatkan pemeriksaan doktor untuk pengesahan lanjut,” katanya ketika ditemu bual.

IMG 20240307 WA0039

Tambah Wan Faiziah, terdapat beberapa jenis perubahan pada payudara seperti ketulan dalam payudara (ketulan yang keras seakan biji lemon yang kurang bergerak, seolah-olah melekat pada sesuatu atau ketulan yang didapati saiznya membesar dengan cepat dan tidak sakit) dan puting tertarik ke dalam (biasanya terdapat ketulan lain dalam payudara yang telah menarik puting sehingga ia seakan tertarik ke dalam dan menyebabkan berlaku lekukan atau keadaan payudara yang berubah bentuk dan tidak simetri).

“Selain itu, perubahan lain adalah seperti terdapat lelehan cecair atau darah dari puting (biasanya keadaan ini tidak berlaku selain daripada ibu mengandung atau menyusukan anak dan ini merupakan salah satu tanda kanser payudara dalam saluran susu yang menyebabkan saluran itu mengembang lalu mengeluarkan lelehan cecair atau darah).

“Permukaan kulit pada payudara menjadi tebal dan berliang seperti kulit oren juga antara perubahan yang berlaku pada payudara. Keadaan seperti ini biasanya disebabkan oleh sumbatan pada salur limfa di bawah permukaan kulit oleh sel kanser,” ujarnya lagi.

IMG 20240307 WA0040

Menurut Wan Faiziah, kanser juga dikaitkan dengan banyak faktor yang dinamakan faktor risiko dan terbahagi kepada faktor yang boleh diubah dan faktor yang tidak boleh diubah.

“Faktor jantina (dilahirkan sebagai perempuan) adalah faktor risiko kanser payudara yang utama kerana 99 peratus (%) penghidap kanser payudara adalah wanita manakala 0.5 hingga 1% berlaku kepada golongan lelaki.

“Faktor risiko lain penyebab kanser payudara adalah seperti peningkatan umur yang lebih daripada 40 tahun, obesiti, pengambilan alkohol, sejarah keluarga menghidap kanser payudara, pendedahan kepada radiasi, faktor reproduktif (umur bermula haid dan umur ketika hamil pertama agak awal), pengambilan rokok atau tembakau dan terapi hormon selepas menopaus.

“Realiti yang kita perlu tahu, hampir separuh daripada pesakit kanser payudara didapati tiada faktor risiko yang dapat dikenal pasti selain daripada jantina (wanita) dan berumur lebih daripada 40 tahun. Ini menunjukkan terdapat faktor-faktor risiko lain akibat terdedah kepada karsinogen (bahan pencetus kanser) dalam tempoh masa tertentu yang tidak dapat diukur,” terangnya lanjut.

IMG 20240307 WA0037

Wan Faiziah turut menjelaskan bahawa terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk pesakit kanser payudara kerana kanser ini bersifat ‘heterogeneity’ (kepelbagaian sifat kanser yang telah memberi cabaran besar dalam rawatan kanser payudara).

“Sifat ‘heterogeneity’ kanser menjadi penyebab pendekatan rawatan perlu dipertingkat dengan mengambil kira variasi terhadap genetik individu, persekitaran dan gaya hidup pesakit. Kaedah ini adalah rawatan terkini yang dinamakan ‘personalized medicine’.

“Antara pilihan rawatan kanser payudara termasuklah pembedahan, radioterapi, kimoterapi, terapi hormon, terapi target biologi, imunoterapi, terapi 'adjuvant' dan terapi 'neoadjuvant'.

“Pesakit perlu berbincang dengan doktor yang merawat tentang pilihan rawatan yang sesuai dan doktor akan mencadangkan gabungan rawatan yang paling sesuai selepas menilai laporan patologi yang lengkap tentang kanser termasuk jenis kanser, gred, tahap, status ekspresi hormon dalam kanser, faktor genetik dan beberapa faktor luaran lain yang boleh memberi gambaran prognosis penyakit. Pemilihan rawatan ke arah ‘personalize’ ternyata boleh meningkatkan keberkesanan rawatan dan kualiti kehidupan pesakit,” katanya.

Menurut beliau, Hospital USM merupakan antara pusat rawatan yang mengguna pakai teknologi pengimejan SPECT/CT dan ‘gamma probe’ untuk prosedur pemetaan dan biopsi nodus limfa sentinel bagi mengesan perebakan kanser payudara eksklusif bagi kanser payudara tahap awal.

“Kaedah ini boleh meningkatkan pengesanan, mengurangkan masa dan komplikasi pembedahan serta menigkatkan kualiti kehidupan.

“Sekiranya nodus limfa yang diambil semasa prosedur ini belum didiami oleh sel kanser, maka pembedahan gugusan limfa tidak perlu dilakukan.

“Dengan kepelbagaian rawatan yang ada, ditambah dengan peningkatan teknologi terkini, kadar keberkesanan rawatan meningkat begitu tinggi bagi pesakit yang dikesan awal. Justeru, penekanan yang perlu diberi kepada masyarakat adalah pengesanan awal dan mitos yang tidak betul serta stigma seperti takut dan malu perlu dikikis sepenuhnya daripada minda,” ujarnya lagi.

IMG 20240307 WA0038

Wan Faiziah turut memberi kata-kata semangat kepada pesakit yang telah disahkan menghidap kanser payudara iaitu ‘kanser bukan pengakhiran cerita, tetapi kanser membuka seribu jalan untuk anda teroka. Ia bukan hukuman Tuhan, tetapi ia satu anugerah untuk kita lebih menghargai kehidupan’.

“Menerima kenyataan sebagai pesakit kanser bukan sesuatu yang mudah. Jadi, perkara utama yang perlu dilakukan untuk melawan kanser adalah dengan mendapatkan kumpulan sokongan kerana melawan kanser bukan acara persendirian,” katanya mengakhiri temu bual.

Sebagai rekod, berdasarkan data pesakit kanser payudara yang diagnosis pada tahun 2022, hampir 60% diagnosis dilakukan ketika kanser sudah berada pada tahap tiga (3) dan empat (4). Statistik ini adalah refleksi kepada tahap kesedaran masyarakat yang boleh dikategorikan sebagai masih rendah. Pengesanan pada tahap satu (1) dan dua (2) serta menerima rawatan yang sempurna boleh meningkatkan jangka hayat pesakit sehingga 90% berbanding 20% pada tahap lewat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 63