KAKI DIABETIS: KETAHUI LANGKAH PENCEGAHAN ELAK AMPUTASI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Oktober 2024 - Diabetes merupakan penyakit kronik yang boleh memberi kesan serius kepada pelbagai bahagian tubuh termasuk kaki. Komplikasi seperti neuropati dan masalah peredaran darah boleh menyebabkan luka yang sukar sembuh, ulser dan jangkitan pada kaki. Sekiranya tidak dirawat dengan betul, keadaan ini boleh menyebabkan amputasi.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan, Unit Perubatan Rehabilitasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Al Hafiz Ibrahim, komplikasi utama yang dialami pesakit diabetes termasuk neuropati diabetik ialah kerosakan saraf yang mengakibatkan kehilangan deria rasa pada kaki.
“Kerosakan ini menyebabkan deria rasa pada kaki berkurang atau hilang sepenuhnya sehingga pesakit tidak dapat merasakan luka, lepuh atau kecederaan kecil yang berlaku.
“Kecederaan ini boleh menjadi lebih serius tanpa disedari kerana pesakit tidak merasa sakit atau tidak sedar tentang kerosakan yang berlaku pada kaki mereka,” ujar beliau semasa ditemu bual dalam slot Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Al Hafiz, masalah peredaran darah yang lemah turut menghalang bekalan darah mencukupi ke kaki dan hal ini menjadikannya sukar untuk sembuh sekaligus meningkatkan risiko jangkitan.
“Bagi mencegah komplikasi lebih teruk, pesakit diabetes disarankan untuk melakukan pemeriksaan kaki setiap hari.
“Antara perkara yang perlu diperiksa termasuk luka atau ulser, perubahan warna kulit, kekeringan atau keretakan kulit, perubahan tekstur kulit serta tanda-tanda jangkitan.
“Selain itu, keadaan kuku kaki, rasa sensasi dan perubahan suhu kaki juga perlu diambil perhatian,” jelasnya lagi.
Al Hafiz berkata, pemilihan kasut yang sesuai adalah langkah pencegahan penting bagi pesakit diabetes.
“Kasut harus mempunyai saiz yang tepat, reka bentuk hadapan yang luas dan bahan yang lembut bagi membolehkan kaki bernafas untuk mengelakkan masalah kelembapan yang boleh menyebabkan jangkitan kulat.
“Tumit kasut yang rendah serta tapak kasut yang empuk dan tebal dapat mengurangkan risiko kecederaan dan ulser pada kaki,” terangnya lagi.
Menurut Al Hafiz, pesakit diabetes juga perlu berwaspada terhadap tanda-tanda amaran seperti luka yang tidak sembuh, perubahan warna kulit, bengkak yang tidak surut, rasa kebas atau kesemutan yang berterusan dan rasa sakit yang teruk pada kaki meskipun dalam keadaan rehat.
“Jika tanda-tanda ini muncul, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
“Menjaga kaki dengan baik bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, tetapi juga membantu mencegah komplikasi yang lebih serius,” kata beliau.
Al Hafiz turut menyarankan agar pesakit diabetes tidak menunggu sehingga masalah timbul, sebaliknya mengamalkan penjagaan kaki yang baik secara rutin dan dapatkan nasihat perubatan jika terdapat sebarang keraguan.
“Perlu diingat, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Dapatkan nasihat doktor jika anda tidak pasti bagaimana untuk mula menjaga kaki dengan betul,” ujarnya lagi.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 15