Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

JAUHI MAKANAN BERKOLESTROL TINGGI, ELAK PENYAKIT JANTUNG

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Februari 2024 - Kehidupan moden dan gaya hidup di negara ini telah membawa kepada peningkatan kadar kolestrol tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Kolestrol tinggi memberi implikasi serius terhadap kesihatan jantung dan pembuluh darah.

Penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia pada tahun 2020 apabila 17 peratus (%) daripada 18,515 kematian yang direkodkan adalah berpunca daripada penyakit jantung.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019 mendapati seramai empat (4) daripada 10 orang dewasa di Malaysia mempunyai masalah kolesterol yang tinggi dan satu (1) daripada empat (4) orang tersebut tidak mengetahui bahawa dia mempunyai masalah ini.

f6dfbadb 4196 451b b39b 994451af1564

Pegawai Dietetik, Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Nor Elyana Awang @ Nawi berkata, masalah kolestrol tinggi tidak semestinya dihidapi oleh orang yang berpenyakit dan berbadan besar, namun ia turut menyerang sesiapa sahaja yang tidak menjaga pemakanan dan kesihatan.

“Kita selalu menyangka kolestrol dihasilkan oleh makanan. Hakikatnya, 80% daripada kolestrol merupakan sejenis lemak yang dihasilkan oleh tubuh kita sendiri iaitu melalui hati.

“Kolestrol lebih aktif dihasilkan oleh badan pada waktu malam dan oleh sebab itulah kebiasaanya pesakit diarahkan untuk mengambil ubat kolestrol pada waktu malam sebelum tidur,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Menurut Nor Elyana, apabila rutin pemeriksaan kolesterol dilakukan, pesakit akan mendapat empat (4) jenis bacaan yang utama iaitu jumlah kolesterol, ’low-density lipoprotein’ (LDL) atau dikenali sebagai kolesterol jahat, ’high-density lipoprotein’ (HDL) sebagai kolesterol baik dan juga ’triglysreride’ (TG) atau lemak ringkas.

“Bacaan paras LDL (kolestrol jahat) yang tinggi boleh menyebabkan pengumpulan kolesterol pada salur darah dan seterusnya menyebabkan aterosklerosis.

“Apabila salur darah menjadi sempit, ia akan menyekat aliran darah dan oksigen serta boleh menyebabkan masalah seperti strok, serangan jantung dan simptom seperti kebas pada bahagian kaki dan tangan,” ujarnya.

Nor Elyana berkata, HDL pula disebut sebagai kolesterol baik kerana ia berperanan untuk membawa LDL ke hati untuk diproses dan dibuang daripada tubuh.

“TG pula adalah sejenis lemak di dalam darah yang digunakan oleh tubuh untuk menyimpan tenaga.

“Jika pesakit makan secara berlebihan terutamanya daripada sumber lemak dan karbohidrat, lebihan kalori akan disimpan dalam bentuk lemak ringkas atau TG ini,” jelasnya lagi.

Nor Elyana turut memaklumkan bahawa bacaan jumlah kolestrol perlu kurang daripada 5.2mmo/L di mana daripada jumlah tersebut kadar LDL perlu berada pada bacaan di bawah 2.6 mmol/L.

“Berlainan pula dengan HDL, bacaannya digalakkan lebih tinggi kerana ia berfungsi untuk memproses mendapan LDL untuk keluar daripada badan dan paras bacaannya perlu lebih dari 1.0 mmol/L.

“Namun begitu, bagi pesakit yang lebih berisiko, paras bacaan bagi LDL perlu lebih rendah iaitu kurang daripadsa 1.8 mmol/L.

“Amat penting untuk kita membuat konsultasi profesional daripada doktor bertauliah bagi mendapatkan kadar bacaan kolestrol yang sesuai untuk badan kita” jelasnya lanjut.

Tambah Nor Elyana, mengikut kajian, pengambilan makanan tinggi kolesterol tidak memberi kesan yang signifikan dalam kenaikan paras kolesterol darah berbanding pengambilan lemak tepu.

“Secara umumnya, kolesterol didapati daripada sumber haiwan seperti telur, organ dalaman dan juga makanan laut seperti kerang, manakala makanan dari sumber tumbuhan pula tidak mengandungi kolesterol, tetapi mengandungi lemak tepu yang tinggi contohnya seperti minyak sawit dan santan.

“Disebabkan itu, beberapa kajian yang dijalankan merumuskan pengambilan telur sebiji setiap hari tidak menaikkan paras kolesterol darah walaupun kandungan kolesterol di dalam telur kuning adalah antara yang tertinggi” ujarnya lagi.

Nor Elyana juga berkata, rakyat Malaysia perlu berhati-hati dalam memilih makanan terutamanya makanan ‘viral’ yang mengandungi lemak yang tinggi terutamanya minyak dan marjerin yang biasanya digunakan dalam membuat kek, pastri dan sebagainya.

“Marjerin mengandungi lemak trans yang lebih merbahaya daripada lemak tepu dan ia boleh meningkat risiko kepada penyakit jantung,” katanya.

Menurut Nor Elyana lagi, makanan tinggi serat larut seperti oat, barli dan beras perang boleh membantu mengurangkan LDL dengan cara mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam darah.

“Serat larut akan mengikat kolesterol makanan di dalam usus dan menyingkirkannya.

“Selain itu, makanan yang tinggi omega tiga (3) seperti ikan boleh membantu menurunkan lemak ringkas (TG) dan menaikkan paras HDL.

“Makanan yang mengandungi sterol dan stenol tumbuhan juga boleh membantu menghalang penyerapan kolesterol di dalam darah dan biasanya bahan ini di tambah dalam makanan seperti susu,” terangnya.

Nor Elyana turut menasihatkan agar orang ramai menjaga pemakanan dengan memilih makanan seimbang dan berkhasiat yang rendah lemak, kurang minyak, garam dan juga lemak trans.

“Kawal kalori, elak pengambilan makanan berlebihan dan elak makanan terproses.

“Ambil sayur sekurang-kurangnya tiga (3) hidangan sehari dan digalakkan untuk membawa bekal bagi memastikan kita tidak memilih makanan yang tidak sihat di kedai.

“Banyakkan bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dan pengurangan berat badan sekecil 5% daripada berat asal sudahpun memberi impak penurunan yang besar kepada paras kolestrol sekaligus mengurangkan risiko mendapat penyakit berkaitan jantung,” terangnya lanjut.

Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan /Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 53