JANGAN PANDANG REMEH DERITA PENYAKIT ASMA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Februari 2025 – Asma atau lelah merupakan penyakit yang kerap ditemui dalam kalangan rakyat negara kita. Walaupun dari sudut fizikal pesakit nampak normal, asma sebenarnya membawa derita dan ancaman tidak berkesudahan kepada penghidapnya.
Penyakit asma sering dipandang remeh. Lazimnya, penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung lebih digeruni oleh pesakit berbanding penyakit asma. Jarang sekali mendengar penyakit asma disenarai pendek masyarakat umum sebagai penyakit berbahaya. Kebanyakan pesakit merasakan asma hanyalah penyakit sementara dan akan hilang setelah menggunakan pam yang diberikan.
Tidak dinafikan dalam era digital yang semakin berkembang pesat, kesedaran masyarakat terhadap ancaman pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) kronik semakin meningkat. Namun, masih ramai yang menganggap asma sebagai penyakit biasa yang tidak memerlukan rawatan segera.
Hakikatnya, statistik menunjukkan masih banyak kes asma yang tidak terkawal di negara kita. Lebih mengecewakan apabila pesakit tidak pernah mendapatkan penyiasatan dan rawatan yang betul dari doktor.
Menurut Penyelaras Unit Pulmonologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Mohamad Zikir Ismail, asma adalah penyakit kronik yang menjejaskan paru-paru dan saluran pernafasan disebabkan keradangan saluran pernafasan.
“Apabila keradangan berlaku, ia akan menyebabkan otot saluran pernafasan menjadi berkedut dan sempit. Keadaan akan bertambah teruk apabila saluran pernafasan mengandungi lendir dan bengkak.
“Apabila keadaan seperti ini berlaku, ia dipanggil serangan asma. Serangan asma boleh di kategorikan sebagai serangan ringan, sederhana dan teruk,” katanya ketika ditemu bual.
Mohamad Zikir yang juga Pakar Perubatan Penyakit Dalam HPUSM berkata, terdapat pelbagai pencetus berlakunya serangan asma seperti alahan pada habuk, debunga, spora kulapuk dan bulu binatang peliharaan.
“Selain daripada itu, udara yang sejuk, senaman, jangkitan sistem pernafasan dan juga tekanan emosi juga boleh mencetuskan serangan asma.
“Refluks asid perut yang dikenali sebagai penyakit refluks gastroesophageal atau GERD, di mana asid perut kembali ke kerongkong anda juga merupakan pencetus serangan asma yang jarang di pandang serius.
“Pesakit perlu memberitahu doktor sekiranya mereka mempunyai GERD supaya rawatan dapat diberikan segera,” jelasnya lagi.
Tambah Mohamad Zikir, antara gejala asma termasuklah nafas berbunyi, batuk kering, sakit dada, sesak nafas, sakit kepala dan banyak lagi.
“Nafas berbunyi seperti siulan merupakan gejala yang paling kerap dilaporkan oleh pesakit atau ahli keluarga pesakit.
“Sakit kepala pula berlaku disebabkan oksigen yang tidak mencukupi sampai ke otak dan ini adalah amaran bahawa serangan asma semakin teruk.
“Tanda serangan asma yang teruk ialah apabila nafas menjadi terlalu laju sehingga tidak mampu bercakap dan mengeluarkan kata-kata,” terangnya lanjut.
Mohamad Zikir turut menjelaskan bahawa gejala asma selalunya lebih teruk pada waktu tengah malam atau awal pagi di mana suhu persekitaran yang rendah mencetus kepada kesempitan pada salur pernafasan.
“Senaman juga kadang kala boleh mencetuskan serangan asma namun ini bukan bermakna pesakit tidak boleh melakukan senaman.
“Mereka harus tahu cara melakukan senaman yang betul, batasan dalam aktiviti senaman dan sentiasa membawa ubat-ubatan ketika bersenam,” katanya.
Beliau berkata, penyakit asma biasanya didiagnosis melalui pemeriksaan fizikal dan semakan sejarah perubatan oleh doktor.
“Untuk mendapatkan kepastian dan rawatan, pesakit perlu menjalani ujian seperti spirometri atau bacaan meter aliran puncak untuk menentukan keterukan penyakit asma mereka.
“Terdapat juga ujian baharu seperti ‘fractional exhaled nitric oxide’ (FeNO) di sesetengah hospital pakar yang dapat membantu doktor untuk membuat pelan rawatan kepada pesakit,” jelasnya.
Menurut Mohamad Zikir, asma adalah penyakit kronik yang tidak boleh disembuhkan. Namun, ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan asma dan pelan pengurusan asma yang baik.
“Pesakit asma haruslah dibimbing dengan maklumat dan ilmu yang betul. Mereka harus dididik cara mengenal pasti gejala dan serangan asma, melakukan gaya hidup yang sihat dan cara penggunaan ubat-ubatan yang betul.
“Asma yang teruk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan seseorang mengalami sesak nafas dan sakit dada.
Jika tidak dirawat, asma yang teruk juga boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang lebih serius seperti jantung terhenti, kecederaan otak (HIE) dan boleh membawa maut,” katanya lagi.
Jelas beliau, adalah sangat penting untuk mendiagnosis asma seawal mungkin supaya anda boleh diberi ubat-ubatan asma yang betul.
“Tahap kesedaran dalam kalangan pesakit asma masih dinggap rendah kerana masih ramai pesakit yang tidak mahu berjumpa doktor dan hanya membeli ubat-ubatan di farmasi.
“Jika seseorang mengesyaki mereka mungkin menghidap asma, adalah lebih baik untuk mereka berjumpa doktor terlebih dahulu sebelum mengubati diri sendiri bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk,” ujarnya.
Selain itu, Mohamad Zikir turut menerangkan bahawa terdapat tiga (3) ubat utama untuk merawat penyakit asma.
“Bronkodilator bertindak pendek - ialah ubat yang melegakan otot-otot di saluran udara untuk meningkatkan aliran udara ke dalam paru-paru. Ubat jenis ini paling baik digunakan apabila serangan asma berlaku atau sebelum melakukan senaman dan aktiviti lasak kerana ia juga membantu membuka saluran udara yang tersumbat.
“Bronkodilator bertindak panjang - ialah ubat yang perlu diambil setiap hari untuk membantu memastikan saluran udara terbuka selain membantu mengelakkan serangan asma daripada berlaku.
“Kortikosteroid - ubat jenis ini digunakan untuk asma yang teruk dan membantu mengurangkan keradangan dalam paru-paru. Ini boleh meningkatkan pernafasan dan mengurangkan bilangan serangan asma,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah penyakit asma disebabkan oleh genetik, Mohamad Zikir memberitahu bahawa asma bukan penyakit genetik semata mata.
“Walau bagaimanapun, genetik mungkin memainkan peranan dalam menentukan betapa teruknya gejala asma yang dihidapi oleh seseorang itu dan sejauh mana respon pesakit terhadap rawatan.
“Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk doktor dan perawat mendapatkan sejarah penyakit asma dalam kalangan keluarga,” ujarnya.
Mohamad Zikir turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan nasihat doktor apabila pesakit mempunyai tanda-tanda gejala asma untuk pemantauan yang berterusan.
“Penyakit asma kadang kala sukar untuk diduga kerana serangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan serangan yang teruk boleh membawa kepada komplikasi yang tidak terduga.
“Elakkan membeli ubat atau ‘inhaler’ tanpa preskripsi kerana penggunaan ‘inhaler’ yang tidak terkawal dikaitkan dengan prognosis yang buruk.
“Selain itu, pesakit juga perlu menghindari pencetus asma terutama asap rokok, habuk, bulu binatang dan mengelak daripada mendapat jangkitan kuman,” katanya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 12