Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

IVF: PROSEDUR INKUBASI PERSENYAWAAN ATASI MASALAH KESUBURAN SUAMI ISTERI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Disember 2023 - Proses ‘in-vitro firtilization’ (IVF) atau lebih dikenali sebagai bayi tabung uji memberi peluang dan harapan baharu kepada pasangan suami isteri yang mengalami masalah ketidaksuburan untuk memiliki cahaya mata.

cf9c12a8 6b06 4da6 b734 a903a78b3d4e

Masalah kesuburan yang dihadapi setiap pasangan adalah berbeza dan perjalanan untuk mengatasinya juga tidak sama. Ada sesetengah pasangan memerlukan rawatan kesuburan sahaja tetapi ramai juga yang perlu menjalani rawatan persenyawaan in-vitro untuk mendapatkan zuriat.

Alternatif itu terpaksa dilakukan apabila kaedah lain tidak berupaya menghasilkan zuriat yang diimpikan.

5ab9f5de 669e 4396 9f46 a71c22b7987a

Ketua Jabatan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga pakar O&G dan Reproduktif Endokrinologi dan IVF, Profesor Madya Dr. Adibah Ibrahim berkata, proses IVF merupakan satu prosedur kompleks yang berpotensi membantu pasangan bermasalah kesuburan untuk mendapatkan zuriat.

“IVF juga salah satu pilihan terbaik sekiranya pasangan mengalami masalah tiub fallopio tersumbat, sejarah pensterilan tiub, endometriosis, masalah ovulasi, kualiti atau fungsi sperma yang sudah terjejas, masalah kesuburan lelaki, masalah kesuburan yang tidak dapat dijelaskan atau sebagai cara pemeliharaan tahap kesuburan bagi pesakit kanser.

“Pasangan yang ingin melakukan rawatan ini akan diberi penerangan dan khidmat rundingan tentang prosedur yang akan dilakukan agar pasangan suami isteri tersebut faham tentang perjalanan yang akan dilalui sepanjang tempoh rawatan,” ujarnya ketika ditemu bual berhubung prosedur IVF di Hospital USM.

67819937 e8ae 4113 971e a19564d97780

Menurut Adibah, proses IVF bermula dengan sperma lelaki dan telur wanita dikeluarkan dari tubuh badan dan disenyawakan di dalam makmal.

“Telur dari rahim wanita akan diambil menerusi jarum halus yang dimasukkan ke dalam faraj dengan bantuan ultra bunyi untuk mengesan kedudukannya manakala bagi lelaki pula, sperma dari testis akan diambil menerusi proses onani ataupun jarum halus bagi mengekstrak ia daripada testis lelaki sekiranya perlu.

“Apabila beberapa telur sudah diambil, ia kemudiannya akan disimpan di dalam bekas berisi cecair nutritif dan diinkubasi sebelum disenyawakan.

“Terdapat dua (2) proses persenyawaan yang boleh dilakukan iaitu ‘inseminasi konvensional’ di mana ia melibatkan proses IVF dengan sperma dan ovum yang sempurna dicampurkan serta diinkubasi semalaman dan ‘suntikan sperma intracytoplasmik’ di mana ia melibatkan proses IVF dengan sperma disuntik terus ke dalam ovum yang sempurna,” katanya.

Tambah Adibah, apabila sperma dan ovum itu sudah berjaya menjadi embrio, ia seterusnya akan dipindahkan menggunakan tiub yang halus, panjang dan fleksibel bernama kateter pemindahan dan akan dimasukkan melalui faraj, serviks dan terus ke dalam rahim wanita untuk proses mengandung.

4c2ba07d 98c5 4490 880c fa84f49e292d

Adibah turut memaklumkan bahawa Hospital USM telah menawarkan perkhidmatan rawatan IVF sejak tahun 2014.

“Rawatan IVF adalah berbeza bagi setiap wanita dan membuatkan setiap orang mengalami tindak balas berlainan terhadap ubat-ubatan serta pada masa yang berbeza.

“Rawatan IVF di Hospital USM biasanya menelan kos antara RM5,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keperluan ubat serta beberapa prosedur yang perlu dilakukan sepanjang rawatan.

“Kos ini melibatkan beberapa prosedur berperingkat iaitu daripada merangsang telur dalam ovari melalui suntikan, mengeluarkan ovum sebaik sahaja telur sudah mencapai tahap optimal dari segi saiz, hingga pelbagai prosedur lain dalam makmal yang hanya boleh dijalankan oleh kakitangan berkemahiran (embriologi) menggunakan peralatan khas untuk mendapatkan hasil seperti yang diinginkan,” jelasnya lagi.

Adibah berkata, sememangnya tidak mudah bagi pasangan melangkah ke hadapan untuk mendapatkan bantuan dan meluahkan cabaran yang mereka hadapi demi mendapatkan zuriat yang dinantikan selama ini.

19b36f73 dcda 4e8b 84c3 517fdd041fea

“Namun, adalah penting untuk tidak melambat atau melewatkan saringan dan dapatkan rawatan segera memandangkan masa adalah agak kritikal bagi mereka.

"Kadar kejayaan IVF sebenarnya bergantung kepada umur seseorang (pasangan suami isteri) kerana apabila umur semakin meningkat, rezab ovari individu berkenaan juga akan berkurangan.

"Keadaan ini biasanya mengakibatkan kemerosotan dalam kualiti dan kuantiti telur yang dihasilkan serta boleh menyebabkan kadar kejayaan IVF menurun,” katanya.

e15527b8 89bb 4249 a997 3acfcd0fc651

Adibah turut menjelaskan bahawa peratusan pesakit yang berjaya hamil melalui prosedur IVF adalah tinggi bagi yang berumur 35 tahun ke bawah dengan 20 hingga 25 peratus (%) kejayaan dan peratusan kejayaan akan berkurangan seiring dengan peningkatan usia wanita tersebut.

Selain itu, Adibah turut menyeru pasangan suami isteri supaya tidak malu untuk mendapatkan nasihat doktor apabila mengalami masalah sukar mengandung.

“Setelah setahun berusaha untuk mendapatkan zuriat tetapi masih gagal, segeralah berjumpa doktor untuk melakukan ujian saringan dan sentiasa berfikiran terbuka untuk menerima rawatan yang disarankan kerana setiap rawatan itu berbeza bagi setiap pasangan,” ulasnya lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 403