INVENIA ABUS 2.0 SUNTIKAN DANA KPT PERKUKUH PERKHIDMATAN HOSPITAL USM UNTUK MASYARAKAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Oktober 2024 - Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi hospital rujukan pertama di Pantai Timur yang mempunyai kelengkapan sebuah mesin ‘Automated Breast Ultrasound’ (INVENIA ABUS 2.0) menggunakan teknologi 'ultrasound' terkini.
Penggunaan mesin INVENIA ABUS 2.0 ini dapat meningkatkan pengesanan kanser payudara sebanyak 35.7 peratus (%) berbanding kaedah mamografi dan kaedah ultrasonografi tiga dimensi (3D) ini menggunakan radiasi ‘non-ionizing’ yang mana selamat untuk dijalankan ke atas ibu-ibu mengandung di samping kaedah pemeriksaan yang lebih cepat dan selesa.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, mesin berkenaan merupakan persediaan pihak Hospital USM melalui ‘Breast Cancer Awareness and Research Unit’ (BestARi) bagi mengesan penyakit kanser payudara dalam kalangan pesakit dengan melakukan saringan awal menggunakan INVENIA ABUS 2.0.
“Golongan wanita dinasihatkan supaya melakukan pemeriksaan mengesan kanser payudara lebih awal sebelum sel itu merebak ke bahagian hati dan paru-paru.
‘Pemeriksaan awal dapat menyelamatkan nyawa, memanjangkan jangka hayat keseluruhan dan mengurangkan morbiditi penyakit itu dalam kalangan penghidap kanser payudara,” katanya ketika ditemu bual dalam sidang media, hari ini.Tambahnya, pada kebiasaannya pesakit kanser payudara terutama golongan wanita menjalani kaedah rawatan mamogram dengan x-ray radiasi berkapasiti rendah yang mungkin menyebabkan rasa tidak selesa, namun melalui penggunaan INVENIA ABUS 2.0, kaedah rawatannya lebih moden apabila menggunakan ‘ultrasound’ dan sesi rawatannya boleh dilakukan lebih daripada sekali.
Menurutnya lagi, mesin ini juga lebih selamat serta tidak mendatangkan kesakitan dan secara tidak langsung akan membantu pesakit kanser payudara lebih yakin dan tidak takut untuk melakukan rawatan lanjut.
“Kita amat amat bersyukur kerana Hospital USM kini dilengkapi mesin terbabit yang menggunakan teknologi terkini di pasaran. Mesin ini juga bakal dibawa ke program komuniti melalui klinik bergerak sekitar negeri Kelantan tidak lama lagi.
“Selari dengan usaha memperkasa promosi kesihatan dalam kalangan masyarakat, Hospital USM dengan peruntukan dana Kemudahan Projek Khas Klinik Bergerak dan Saringan Kanser yang disalurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada Hospital Pengajar Universiti (HPU) berjumlah RM2 juta pada tahun lalu telah membuat perolehan mesin INVENIA ABUS 2.0 ini,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan terhadap pihak KPT atas penyaluran dana kepada Hospital USM.
“Mesin ini akan ditempatkan di dalam bas khas yang masih dalam proses perolehan menggunakan peruntukan yang sama untuk digunakan semasa program saringan komuniti secara khusus.
“Mesin terbabit juga merupakan mesin ketiga di Malaysia yang sebelum ini difahamkan ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.
“Saya berharap mesin INVENIA ABUS 2.0, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh doktor, jururawat, juru x-ray perubatan dan staf yang terlibat dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu, Abdul Rahman melancarkan Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October) 2024 peringkat Hospital USM dan berbesar hari merasmikan mesin INVENIA ABUS 2.0 di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, di sini.
Turut hadir pada majlis terbabit ialah Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK); Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Pengarah Eksekutif Usains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim; Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Dato’ Dr. Imi Sairi Abdul Hadi dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Perasmian Mesin INVENIA ABUS 2.0 dan Pelancaran Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October) 2024 Peringkat Hospital USM, Dr. Wan Zainira Wan Zain.
Teks: Rosalwani Che Soh /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 18