INSPIRE@HPUSM: LANGKAH TRANSFORMASI DIGITAL SELARI PERKEMBANGAN TEKNOLOGI TERKINI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mei 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus melangkah maju dalam usaha mendigitalkan sistem kesihatan dengan memperkenalkan sistem baharu yang dinamakan ‘Integrated System for Patient Care, Innovation, Research and Education’ atau dikenali sebagai INSPIRE@HPUSM yang dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada bulan Julai nanti.
INSPIRE@HPUSM bukan sekadar sistem biasa, ia adalah solusi serba lengkap yang menyatukan pelbagai aspek penting dalam pengurusan hospital termasuk pengurusan klinikal, kewangan, aset, pengajaran dan penyelidikan dalam satu platform digital yang lebih tersusun dan sistematik.
Menurut Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, proses transformasi sistem ini telah bermula sejak tahun 2018 di mana platform ini dibangunkan pada sistem yang telah sedia ada.
“Rangka sistem ini dimodifikasi mengikut kesesuaian seperti kemasukan maklumat pesakit serta maklumat berkaitan mengikut keperluan unit dalam hospital.
“Sistem ini akan menggunakan platform ‘open source’ kerana kosnya tidak terlalu tinggi dan ia sangat memudahkan kerana mempunyai integrasi dengan semua bahagian klinikal yang kita ada dalam sistem tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam ‘Town Hall INSPIRE@HPUSM>’ di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan, hari ini.
INSPIRE@HPUSM akan dikembangkan ke jabatan serta unit lain setelah sistem tersebut memenuhi keperluan di satu-satu tempat mengikut fasa seterusnya.
Pengurusan HPUSM yakin INSPIRE@HPUSM akan menjadi pemangkin perubahan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan selain membantu para perawat memberikan perkhidmatan yang lebih selamat, lebih berkesan dan lebih cepat.
Dalam masa yang sama, pihak pengurusan menyeru seluruh warga HPUSM untuk memberi sokongan penuh terhadap usaha transformasi ini, kerana perubahan ke arah sistem digital memerlukan masa dan penerimaan semua pihak untuk berjaya.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 8