Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

IBWC PERKENAL TEKNOLOGI BAHARU RAWATAN LUKA DAN LECURAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 4 Ogos 2023 – Dianggarkan 180,000 kematian akibat lecuran berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana setiap tahun berdasarkan data 'World Health Organization' (WHO) pada tahun 2018.
 
IMG 20230804 WA0052
 
Menyedari hakikat itu, Unit Sains Rekonstruktif, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Rawatan Kebakaran Hospital USM dengan kerjasama Unit Pembedahan Plastik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), 'Malaysian Society of Plastic and Reconstructive Surgery' (MSPRS) dan 'Malaysian Society for Burn Injury' (MBSI) mengambil inisiatif mengumpulkan 25 orang pakar perunding dalam bidang pembedahan plastik dari dalam dan luar negara untuk berkongsi kepakaran dan ilmu selaras dengan perkembangan teknologi terkini.
 
IMG 20230804 WA0048
 
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dato’ Dr. Zaini Hussin, penganjuran ‘4th International Burn and Wound Conference 2023’ (IBWC) sangat bertepatan bagi meningkatkan pengetahuan para doktor, pakar dan pengamal perubatan di samping menyelaras semula perkembangan terkini berkenaan perawatan dan luka lecuran sebagai usaha meningkatkan kompetensi pengamal perubatan dalam memberi rawatan yang optimum dan efisyen kepada pesakit.
 
"Pengurusan rawatan luka dan kelecuran memberi kesan kepada kehidupan mereka yang mengalaminya. 
 
IMG 20230804 WA0047
 
"Kos perubatan bagi pengurusan rawatan ini adalah antara USD28.1 hingga USD96.8 bilion di mana rawatan bagi luka pembedahan dan ulser diabetes adalah yang paling mahal.
 
"Pengurusan luka dan lecuran juga bukan sekadar memberi impak kepada gaya hidup mereka yang terlibat bahkan kepada ekonomi negara," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan tersebut.
 
IMG 20230804 WA0053
 
Tambah Zaini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk mengemas kini jumlah beban pengurusan luka dengan penilaian berkadar rawatan dan hasil penjagaan luka termasuk luka terbakar, traumatik, sakit tekanan, kencing manis dan luka pembedahan.
 
IMG 20230804 WA0054
 
“Arena penyelidikan kami telah berusaha untuk menambah baik penjagaan luka dan lecuran di Malaysia selama ini. 
 
"Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak kekurangan yang boleh dan patut kita lakukan,” ujarnya lagi.
 
IMG 20230804 WA0049
 
Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin pula merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dan berharap persidangan ini mencapai matlamat dalam membina hubungan serta kerjasama yang memberi kebaikan kepada semua pihak melalui pertukaran dan perkongsian ilmu. 
 
"Perkembangan terbaru dalam rawatan luka dan kelecuran amat diperlukan buat masa ini.
 
IMG 20230804 WA0055
 
"Berdasarkan statistik di Hospital USM, kes melibatkan pesakit kelecuran semakin meningkat saban tahun. Dilaporkan sebanyak 153 kes pesakit melecur dan 2,130 kes untuk rawatan jagaan harian di Unit Rawatan Kebakaran (URK), Hospital USM bagi tahun 2020 hingga 2022," katanya.
 
Menurut Shaharum, persidangan ini turut memperkenalkan rawatan Perkhidmatan Epidermal Kultur Autograf (Cultured Epidermal Autograft) yang disediakan di URK Hospital USM iaitu pembinaan kulit secara ‘in vitro’ (pengkulturan kulit pesakit lecuran itu sendiri di dalam makmal). 
 
IMG 20230804 WA0050
 
"Rawatan melalui teknologi kejuruteraan tisu ini merupakan alternatif rawatan piawai tampalan kulit (split skin graft) kepada pesakit yang mengalami luka dan kelecuran yang menyeluruh serta menghadapi kesukaran untuk mendapatkan graf kulit sihat," ulasnya.
 
IMG 20230804 WA0051
 
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas) yang mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) yang mewakili Pengarah Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah (Perubatan II) yang mewakili Pengarah HRPZ II, Dr. Tengku Annas Fathy Tengku Ahmad; Presiden MSPRS, Dr. Shah Jumaat Mohd Yussof; Presiden MSBI, Dr. Fatimah Mohd Nor; Penasihat Persidangan Kali ke-4 IBWC, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim dan Presiden Persidangan Kali ke-4 IBWC, Profesor Dr. Wan Azman Wan Sulaiman.
 
Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 114