IBU MENYUSU INSAN HEBAT LAHIRKAN GENERASI SIHAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Ogos 2024 – Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia bermula 1 hingga 7 Ogos merupakan acara tahunan yang disambut secara besar-besaran di kebanyakan negara di seluruh dunia.
Sambutan ini juga diadakan secara meriah di kebanyakan fasiliti kesihatan awam dan swasta seluruh Malaysia sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam menggembleng tenaga untuk menyokong penyusuan susu ibu.
Sehubungan itu, Unit Laktasi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu USM (KSSUSM) dan Hal Ehwal Wanita (HELWA) tidak ketinggalan menganjurkan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam ucapannya berkata, bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun 2024 iaitu 'Closing the Gap: Breastfeeding Support for All' atau Rapatkan Jurang: Sokong Susu Ibu Sepenuhnya, sambutan ini diadakan bertujuan meraikan ibu-ibu yang menyusukan bayinya dengan mengetengahkan sokongan pelbagai pihak sama ada keluarga, komuniti dan pekerja kesihatan.
"Tema pada tahun ini juga memberi penekanan kepada masyarakat untuk menyokong penyusuan susu ibu agar ibu yang menyusukan bayinya dkenali, didengari, dilihat dan dihargai pengalaman sepanjang menyusukan bayi mereka.
"Sebagai tanda sokongan terhadap penyusuan susu ibu, Hospital USM juga tidak pernah ketinggalan menyahut seruan pada setiap tahun meraikan sambutan ini sama ada di peringkat Hospital USM mahupun Kampus Kesihatan USM," katanya.
Tambah Shaiful, sambutan ini juga bertujuan untuk meningkatkan 'happiness index' dalam kalangan staf selain mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) nombor tiga (3) iaitu 'Good Health and Well Being' dalam kalangan staf Kampus Kesihatan USM.
"Sambutan yang diadakan secara santai bersama ahli keluarga ini juga bertujuan menyokong aktiviti penyusuan susu ibu di Kampus Kesihatan USM di samping meraikan, menyantuni dan mengeratkan silaturahim antara ahli Persatuan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu USM, staf USM dan komuniti setempat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Inisiatif Hospital Rakan Bayi USM atau ‘Baby-Friendly Hospital Initiative’ (BFHI) serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan pada hari ini," jelasnya.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM pada tahun ini seperti pertandingan mewarna, pertandingan deklamasi sajak serta video pendek untuk kanak-kanak, pertandingan penyediaan menu sihat, pertandingan pemakaian baju bayi oleh kaum bapa dan banyak lagi.
Selain itu, Shaiful turut menyeru semua pihak untuk terus memberi sokongan kepada para ibu yang menyusui anak agar mereka lebih merasa dihargai dan bersemangat untuk meneruskan penyusuan sehingga mencapai usia dua (2) tahun.
"Hal ini kerana ibu yang menyusukan bayi mereka amat memerlukan sokongan daripada semua pihak tidak kira di rumah, di tempat kerja serta dalam kalangan komuniti," ujarnya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak; Pakar Pediatrik Hospital USM, Profesor Madya Dr. Noraida Ramli dan Penyelaras Unit Laktasi merangkap Pengerusi Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2024 Peringkat Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Zaharah Sulaiman.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 12