HPUSM CAKNA KEBERSIHAN PANTAI DAN HIDUPAN LAUT DEMI KELESTARIAN SEJAGAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Oktober 2024 - Bagi memupuk sikap suka menjaga kebersihan terutama kebersihan pantai dan memelihara keindahan alam sekitar, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah mengadakan program ‘Hospital Pakar USM Beach Cleanup’ di Pantai Impian, Kemasin, Bachok, pada 10 Oktober lalu.
Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kelestarian HPUSM itu disertai 100 kakitangan hospital diadakan sempena ‘International Coastal Cleanup 2024’ yang disambut pada 21 September hingga 20 Oktober pada tahun ini.
Dalam program yang bermula sekitar jam 8.30 pagi itu, para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan dan membersihkan kawasan pantai dengan mengumpulkan sampah sarap seperti plastik, botol termasuk peralatan memancing yang terdapat di sekitar pantai terbabit.
Program sebegini ternyata menunjukkan rasa tanggungjawab sosial selain mengajak masyarakat supaya lebih cakna terhadap kebersihan alam sekitar sekaligus reputasi dan persekitaran pantai dapat ditingkatkan. Program ini bukan sahaja memfokuskan kepada kebersihan pantai, tetapi juga memberi pendidikan tentang impak negatif sampah terhadap ekosistem laut.
Melalui program ini, para peserta berjaya mengumpul sebanyak 373 kilogram sampah sekaligus membawa perubahan yang lebih positif kepada ekosistem laut.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Pengarah Program Hospital Pakar USM ‘Beach Cleanup’, Yuzi Kamila Mohd Yusoff.
Sumber Laporan & Foto: Yuzi Kamila Mohd Yusoff
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 60