HOSPITAL USM TEROKA PELUANG 'MEDICAL TOURISM'
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 September 2024 - Menyedari akan potensi penjanaan kewangan skop baharu menerusi Pelancongan Kesihatan (Medical Tourism), pengurusan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini duduk semeja bersama beberapa wakil pihak yang berkepentingan untuk meneroka usaha serta menggariskan strategi-strategi bersesuaian.
Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman serta barisan Timbalan Pengarah dan pegawai-pegawai utama Hospital USM menerima kunjungan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Kelantan (MOTAC), Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC), Malaysia Association Hotel (MAH) Kelantan serta Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam rangka usaha sama bagi lebih memahami apa keperluan serta persediaan Hospital USM untuk bergerak aktif menawarkan perkhidmatan Perubatan Pelancongan.
Sesi pertemuan merumuskan bahawa Hospital USM mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam Perubatan Pelancongan memandangkan keberadaan pakar-pakar serta fasiliti rawatan dalam pelbagai disiplin perubatan. Melalui penetapan hala tuju yang bersesuaian serta sokongan promosi dan kolaborasi bersama pelbagai agensi yang berkaitan, Hospital USM diyakini mampu muncul sebagai peneraju Perubatan Pelancongan di Pantai Timur suatu hari nanti.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah MOTAC, Mohd Aidil Afizie Daud; Pengerusi MAH Kelantan, Hajah Maimun Mohd Husain dan Pensyarah Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan UMK, Fadhilahanim Aryani Abdullah.
Teks: Amyrulhan Azhari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 32