Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

HOSPITAL USM TAWAR KHIDMAT KAUNSELING KEPADA WARGA USM DAN MASYARAKAT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Oktober 2023 - Berbekalkan hasrat untuk membudayakan kaunseling sebagai sistem sokongan dalam masyarakat di samping memartabatkan profesion kaunseling di Malaysia, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mewujudkan ruang perkhidmatan kaunseling berpusat.

IMG 20231016 WA0016

Perkhidmatan yang mula beroperasi pada bulan Disember 2022 di Aras 2, Blok 108 (Berhampiran Wad 2 Akik/ Topaz) ini menawarkan khidmat kaunseling dari aspek perkahwinan dan keluarga, stres atau ‘coping skill’, ‘loss and grief’ kebimbangan atau kemurungan dan lain-lain lagi.

IMG 20231016 WA0015

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, ‘Minda Madani Masyarakat Harmoni’ adalah tema yang dipilih sempena sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2023 sangat berkait dengan usaha yang dilakukan Pengurusan Hospital USM iaitu memperkenalkan satu fasiliti rasmi yang menyediakan perkhidmatan kaunseling profesional kepada warga USM dan masyarakat sekitar.

IMG 20231016 WA0018

“Ini kerana kaunselor bertanggungjawab untuk menyediakan ruang sesi kaunseling yang kondusif dan terapeutik serta menepati piawai yang ditetapkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia.

“Di samping itu, kaunselor juga terikat dengan kod etika untuk menjaga dan melindungi kerahsiaan maklumat klien dalam perhubungan membantu.

IMG 20231016 WA0017

“Justeru, adalah penting bagi ruang kaunseling yang digunakan untuk sesi bersama klien mengikut spesifikasi khusus agar kerahsiaan ini dapat dipelihara dengan baik,” ujarnya ketika merasmikan Ruang Perkhidmatan Kaunseling Hospital USM, hari ini.

Tambah Shaharum, kaunselor merupakan satu keperluan dan menjadi tunjang kesejahteraan masyarakat.

IMG 20231016 WA0020

“Peranan kaunselor bukan hanya memfokuskan kepada golongan tertentu, bahkan merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak sehingga warga emas yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Skop tugas kaunselor bukan sekadar melakukan sesi kaunseling di bilik sahaja tetapi perlu mendekati komuniti serta mengenal pasti keperluan mereka.

IMG 20231016 WA0019

“Saya difahamkan bahawa kaunselor Hospital USM juga mengambil inisiatif untuk terlibat sama dengan program komuniti secara terbuka mahupun khusus kepada golongan rentan dan usaha ini dilihat selari dengan objektif pelaksanaan Bulan Kaunseling Kebangsaan iaitu meningkatkan aksesibiliti perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Menurut Shaharum, berdasarkan Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi tahun 2019, satu (1) daripada lapan (8) orang mengalami masalah kesihatan mental yang mana kebimbangan (anxiety) dan kemurungan adalah antara yang tertinggi direkodkan.

IMG 20231016 WA0021

“Data daripada ‘National Health and Morbidity Survey’ (NHMS) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebanyak 424,000 kanak-kanak mengalami isu kesihatan mental manakala 2.3 peratus (%) golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas mengalami kemurungan.

“Melihat kepada statistik ini, ia memberi petanda kepada kita untuk lebih proaktif dalam mendukung aspirasi negara menjaga kesihatan mental kerana jika tidak dibendung ianya akan menjejaskan kualiti kehidupan dan produktiviti individu seterusnya memberi implikasi kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Shaharum turut berharap agar perkhidmatan kaunseling Hospital USM dapat dibudayakan dalam kehidupan tanpa mengira di organisasi ataupun dalam masyarakat.

“Apa yang penting adalah kesedaran kendiri terhadap kesihatan mental dan tahu bahawa khidmat profesional disediakan sebagai sistem sokongan psikologi.

“Kerjasama semua pihak dalam menyokong usaha membudayakan perkhidmatan kaunseling ini dilihat boleh membantu mengurangkan stigma kepada mereka yang memerlukan seterusnya menjalani kehidupan yang berkualiti dan berada pada tahap yang optimum,” ulasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi) Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Ketua-ketua Jabatan dan Penyelia Perkhidmatan Kaunseling merangkap Ketua Perkhidmatan Pengurusan Risiko dan Keselamatan Pesakit, Unit Klinikal Hospital USM, Dr. Juhaida Daud.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 289