HOSPITAL USM SIAPSIAGA HADAPI SEBARANG KEMUNGKINAN PENULARAN MPOX
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2024 - Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa berwaspada dan mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan risiko jangkitan cacar monyet atau Mpox ketika ini.
Bagi memperjelas situasi semasa dan peranan Hospital USM dalam menghadapi penularan Mpox, sesi ‘Town Hall’ bertajuk ‘Menghadapi Risiko Jangkitan Mpox’ diadakan di Dewan Kuliah 4, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM secara bersemuka selain turut dikongsi menerusi aplikasi webex, hari ini.
Lebih 200 peserta terdiri daripada pelajar dan staf pelbagai jawatan menyertai sesi penerangan tersebut. Sesi ‘Town Hall’ ini dibahagikan kepada lima (5) slot dengan tajuk berlainan iaitu ‘Situasi Semasa Mpox’ yang disampaikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Profesor Madya Dr. Wan Zahiruddin Wan Mohammad.
Slot kedua penerangan berkenaan ‘Pengurusan Klinikal Kes Mpox’ dikongsikan oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital USM, Profesor Madya Dr. Alwi Muhd Besari@Hashim manakala slot ketiga isu berkaitan ‘Pengurusan Pesakit Mpox di Klinik SRI’ telah disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga merangkap Penyelaras Klinik Saringan Infeksi (SRI) Hospital USM, Dr. Nur Suhaila Idris.
‘Ujian Pengesahan Mpox dan Pengurusan Spesimen di Hospital USM’ yang disampaikan oleh Pakar Mikrobiologi Klinikal, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, PPSP USM, Dr. Nik Haszroel Hysham Nik Hashim mengisi slot keempat manakala slot terakhir dengan tajuk ‘Kawalan Jangkitan dan Pencegahan Mpox’, dikendalikan oleh Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal merangkap Penyelaras Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH), Hospital USM, Profesor Madya Dr. Siti Suraiya Md. Noor.
Sesi ‘Town Hall’ ini ternyata mendapat sambutan yang baik kerana memberi pendedahan sebenar berhubung jangkitan Mpox dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil sekiranya jangkitan ini menular di negeri Kelantan dan pesakit ditempatkan Hospital USM.
Turut hadir ialah Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Timbalan Pengarah Sistem Pengurusan Hospital USM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 11