Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

HOSPITAL USM SERAH BAS MINI ‘MOBILE CLINIC’ KEPADA PPUSMB

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Oktober 2023 – Sebagai penghargaan dan pengiktirafan atas penglibatan aktif pasukan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) khususnya serta Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) amnya dalam program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berbesar hati menyerahkan bas mini ‘mobile clinic’ KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), hari ini.

IMG 20231009 WA0039

KPT telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.58 juta kepada Hospital USM bagi melaksanakan Program KRIS pada Jun 2021.

Selaras dengan perubahan pucuk kepimpinan, KPT telah melancarkan inisiatif baharu iaitu Program Semarak Siswa Madani pada 20 Jun 2023 dan satu (1) daripada empat (4) program utama yang telah dirangka ialah KPT Prihatin Madani iaitu kesinambungan daripada Program KRIS.

IMG 20231009 WA0041

Menurut Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, penyerahan bas mini ‘mobile clinic’ ini bertujuan memudahkan PPUSMB bergerak dengan lebih aktif dalam Program KPT Prihatin Madani.

“Program KPT Prihatin Madani diterjemahkan melalui pelaksanaan program klinik bergerak dan program 'outreach' kesihatan komuniti kepada golongan sasar terutamanya golongan luar bandar atau pedalaman dan komuniti B40 yang jauh daripada fasiliti kesihatan.

IMG 20231009 WA0036

“Hal ini seiring dengan misi dan visi USM ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarikan Hari Esok’ dengan mengupayakan golongan terkebawah dan meletakkan ‘Libat sama Universiti-Komuniti’ sebagai salah satu agenda bagi ‘knowledge transfer’.

IMG 20231009 WA0038

“Program KPT Prihatin Madani juga telah membuka peluang jaringan kerjasama antara PTJ di USM serta agensi-agensi kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi melaksanakan program kesihatan yang memberi impak lebih besar kepada golongan sasar,” katanya ketika berucap mewakili Pengarah Hospital USM dalam majlis tersebut.

IMG 20231009 WA0040

Tambah Zaidi, program-program komuniti yang telah dijalankan ini adalah antara projek yang meletakkan USM di tangga ke-4 dunia dalam Matlamat Pembangunan Mampan atau ‘Sustainable Development Goals’ (SDGs) dan ia merupakan satu keunikan serta kebanggaan seluruh warga USM.

IMG 20231009 WA0042

Sementara itu, Pengarah IPPT, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin pula berkata, bas mini ‘mobile clinic’ ini diharap dapat merapatkan lagi jurang antara masyarakat sekitar dalam penerimaan perkhidmatan kesihatan secara meluas.

“IPPT akan terus aktif turun padang melaksana program yang dirancang menerusi program KPT Prihatin Madani dengan menyantuni komuniti serta menyediakan pelbagai pemeriksaaan saringan kesihatan.

IMG 20231009 WA0037

“Menerusi program-program sebegini, budaya cakna terhadap kesihatan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat di samping mewujudkan jaringan kerjasama antara USM dan komuniti setempat,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah (Klinikal Kelestarian dan Piawaian), IPPT, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim dan Timbalan (Pengarah Akademik dan Antarabangsa), IPPT, Dr. Ida Shazrina Ismail.

Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 188