Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

HOSPITAL USM SASAR SIFAR KES ‘MEDICO LEGAL’

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 November 2023 – Kes kecuaian dalam amalan perubatan atau lebih dikenali sebagai kes ‘medico legal’ sering berlaku di pusat perubatan atau hospital.

IMG 20231106 WA0021

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman berkata, sebagai sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang berpengalaman, Hospital USM sangat komited dan memberi perhatian serius terhadap isu yang berkait dengan ‘medico legal’.

“Warga kerja Hospital USM yang terlibat diseru untuk mensasarkan ‘zero tolerance medico legal’ sebagai penanda aras agar kes ‘medico legal’ di Hospital USM dapat dikurangkan pada masa hadapan.

IMG 20231106 WA0019

“Pengurusan Hospital USM juga menetapkan pengurusan risiko sebagai satu tonggak untuk penambahbaikan pengurusan hospital dalam menangani cabaran masa kini.

“Salah satu komponen pengurusan risiko adalah berkaitan risiko ‘medico legal’ yang bermula dengan mengenal pasti dan menguruskan risiko bagi mengurangkan impak negatif terhadap organisasi,” katanya ketika merasmikan Seminar Menangani dan Menguruskan Kecuaian dalam Amalan Perubatan 2023 di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

IMG 20231106 WA0022

Tambah Nik Hisamuddin, seminar tersebut diadakan bertujuan memastikan warga kerja Hospital USM menambah baik kekurangan sedia ada sekaligus melindungi pengamal perubatan daripada risiko ‘medico legal’ selain membudayakan pengurusan risiko dalam kalangan warga Hospital USM.

“Komponen penting dalam pengurusan risiko ‘medico legal’ adalah borang keizinan bermaklumat (informed consent) pesakit.

IMG 20231106 WA0024

“Proses untuk mendapat keizinan bermaklumat adalah penting termasuk dokumentasi dan ‘attestation’ pengamal perubatan yang terlibat serta implikasi prosedur perlu diterangkan kepada pesakit dengan jelas bagi mengurangkan risiko kes ‘medico legal’,” ujarnya lagi.

Menurut Nik Hisamuddin, kes ‘medico legal’ bukan hanya melibatkan pegawai perubatan, tetapi turut melibatkan jururawat, pembantu perawatan kesihatan, ahli farmasi dan lain-lain bidang berkaitan.

IMG 20231106 WA0023

“Pada hari ini, kita menjemput wakil-wakil yang arif dalam bidang masing-masing untuk memastikan bahawa tindakan yang diambil oleh warga kerja Hospital USM yang juga sebagai pengamal perubatan adalah betul dan selari dengan ketetapan yang ditetapkan dan dapat mengurangkan atau mengelak wujudnya potensi ‘medico legal’ disebabkan kecuaian dalam melaksanakan perkhidmatan atau perawatan ke atas pesakit.

“Selain itu, seminar ini juga diadakan bagi memastikan warga USM mengetahui tatacara dan proses tindakan lanjut untuk diambil sekiranya berlaku kecuaian dalam perkhidmatan dan perawatan terutamanya pelajar ijazah tinggi yang silih berganti setiap tahun.

IMG 20231106 WA0025

“Ini kerana prosedur atau tatacara di hospital asal mereka berkhidmat adalah berbeza dengan prosedur dan tatacara yang ditetapkan di Hospital USM dan penganjuran seminar ini diharap dapat memberi pengetahuan serta kefahaman yang lebih menyeluruh kepada warga USM secara umumnya,” jelasnya lanjut.

Nik Hisamuddin turut berharap agar seminar ini memberi manfaat berguna kepada semua pihak selain memperbaiki kelompangan yang ada serta meminimumkan wujudnya kes ‘medico legal’ di Hospital USM.

IMG 20231106 WA0020

Turut hadir ialah penceramah dari Tetuan Adam Abdullah dan Mani, Dato’ Muhammad Adam Abdullah; Timbalan Pengarah (Klinikal), Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Insfrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Timbalan Pengarah (Operasi) merangkap Pengarah Program Seminar Menangani dan Menguruskan Kecuaian dalam Amalan Perubatan 2023, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 67