HOSPITAL USM SAMBUT KELAHIRAN 21 BAYI TAHUN BAHARU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Januari 2024 - Seramai 21 'bayi tahun baharu' dilahirkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 11.59 malam tadi (1 Januari 2024).
Daripada jumlah itu, 13 adalah bayi lelaki dan lapan (8) perempuan yang dilahirkan secara normal dan pembedahan.
Bayi pertama seberat 2.96 kilogram (kg) dilahirkan jam 12.57 tengah malam dan bayi terakhir seberat 2.43kg lahir jam 9.55 malam tadi.
Seorang ibu bayi tahun baharu yang ditemui, Nur Nabila Hafifi Rahim, 29, dari Pulau Melaka menzahirkan rasa gembira yang tidak terhingga kerana tidak menyangka akan melahirkan anaknya pada tarikh 1 Januari.
“Saya mula mengalami kesakitan tanda-tanda hendak bersalin pada pagi 31 Disember dan terus bergegas ke Hospital USM.
“Saya dimasukkan ke wad kerana mula mengalami ‘contraction’ dan selamat bersalin bayi lelaki seberat 2.80 kg secara normal pada pukul 9.42 pagi keesokannya,” ujarnya.
Nur Nabila turut meluahkan rasa syukur dan teruja menyambut kelahiran cahaya mata keduanya itu berbanding jangkaan awal beliau dijadualkan bersalin pada 16 Januari nanti.
“Syukur Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Kelahiran bayi ini cukup menggembirakan kami sekeluarga,” katanya lagi.
Pengurusan Hospital USM turut mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada tahun baharu di Hospital USM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 105