HOSPITAL HIJAU: HPUSM KOMITED PERKUKUH AGENDA KELESTARIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mac 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus memperkukuh agenda kelestarian dengan pelbagai inisiatif hijau sepanjang tahun 2024 termasuk program penanaman pokok, penjenamaan semula Laman Rufaida kepada Laman Lestari serta aktiviti plogging di Pantai Harmoni, Kemasin, Bachok.
Dalam ‘Town Hall’ Kelestarian HPUSM 2025 hari ini, Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani menegaskan komitmen HPUSM dalam mewujudkan persekitaran kerja lebih lestari dan mesra alam.
Menurut beliau, projek ‘Eco Bag 4U’ yang menggalakkan penggunaan semula beg ‘woven’ dan kertas terpakai mendapat sambutan baik dan turut diaplikasikan di Kampus Induk USM selepas menerima pujian daripada Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dr. Azlan Amran.
Selain itu, Pertandingan Kelestarian Fasa II & III yang melibatkan lebih 54 jabatan, unit, wad dan makmal di HPUSM berjaya meningkatkan kesedaran tentang amalan hijau di hospital.
"HPUSM juga mencatat kejayaan dalam Audit Pejabat Hijau USM 2024 apabila Unit Pemakanan dan Dietetik memperoleh pengiktirafan lima (5) daun serta hadiah saguhati.
"Ini membuktikan kelestarian semakin menjadi budaya kerja harian di hospital,” katanya.
Pada sesi ‘town hall’ itu juga, Ab Rahman Izaini turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kelestarian Fasa III di mana johan dimenangi oleh Unit Perubatan Transfusi manakala naib johan disandang oleh Makmal Imunologi dan ketiga milik Wad Berlian.
Beliau dalam ucapannya juga turut menekankan usaha HPUSM memperluaskan program kelestarian jangka panjang, bukan sahaja dalam infrastruktur hijau tetapi juga kesejahteraan staf.
"Persekitaran kerja yang sihat bukan sahaja meningkatkan produktiviti staf tetapi juga mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit berkaitan gaya hidup.
"Oleh itu, pelaksanaan persekitaran kerja ergonomik, penyediaan ruang hijau yang kondusif serta galakan gaya hidup sihat akan terus diberi perhatian," jelasnya.
Menurut Ab Rahman Izaini, HPUSM komited memperkasakan penjimatan air dan elektrik serta pengurusan sisa yang lebih cekap bagi mengurangkan jejak karbon hospital.
Beliau berkata, bagi memperluaskan kesedaran kepada pesakit dan pengunjung, HPUSM bakal memperkukuhkan polisi pengurangan plastik sekali guna termasuk larangan beg plastik dan penyedut minuman plastik.
"Pengunjung dan pesakit juga digalakkan membawa bekas makanan serta botol air sendiri sebagai langkah sokongan terhadap hospital hijau.
"Selain itu, sistem pengurusan sisa di wad dan ruang menunggu akan diperkukuh dengan kemudahan kitar semula bagi meningkatkan keberkesanan pengasingan sisa," ujarnya lagi.
Beliau berharap HPUSM menjadi perintis hospital hijau yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi tetapi juga mendidik masyarakat mengenai kelestarian alam sekitar.
"Pengurusan HPUSM ingin mengajak semua staf untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan agenda kelestarian ini.
"Setiap usaha kecil apabila digabungkan, mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan bersama dan masa depan yang lebih lestari," katanya mengakhiri ucapan.
Hadir sama dalam program ini ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) merangkap Pengerusi Program Kelestarian HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Pegawai Kanan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Mohamad Zamzani Ibrahim.
Teks: Rosalwani Che Soh /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 17