Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

'HEALING LITTLE HEART' PENUHI IMPIAN DAN HARAPAN PESAKIT JANTUNG KONGENITAL

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Oktober 2023 – Lebih 80 pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat manfaat melalui Program Kebajikan Kardiotorasik USM – 'Healing Little Heart' (HLH) sejak tahun 2015 yang membantu memberi rawatan dan melakukan pembedahan kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.11 1

Penyakit jantung kongenital adalah salah satu penyakit utama dalam kalangan kanak-kanak yang melibatkan kira-kira lapan (8) kes dalam setiap seribu kelahiran.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.11

Dalam siri lawatan pasukan perubatan HLH dari United Kingdom (UK) ke Hospital USM tahun ini, dianggarkan kira-kira RM200,000 diperuntukkan untuk kos keseluruhan pembedahan jantung kongenital yang dijadualkan dilakukan kepada 10 orang pesakit.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.09

Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM yang juga Pengarah Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH, Dr. Mohd Rizal Mohd Zain berkata, setiap tahun Hospital USM akan bekerjasama dengan pasukan perubatan HLH melakukan pembedahan jantung kepada pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital selain melaksanakan proses pemindahan ilmu, kepakaran dan penggunaan peralatan yang canggih dari luar negara dalam melatih doktor-doktor di Hospital USM.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.09 1

“Pasukan perubatan HLH yang tiba di Hospital USM pada 22 Oktober lalu terdiri daripada sebelas petugas termasuk Pakar Bedah Kardiotorasik Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik Intensif, Jururawat serta Perfusionis diketuai oleh Pengasas Pertubuhan HLH, Dr. Sanjiv Nichani.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.10 1

“10 pesakit kanak-kanak berusia 10 bulan hingga tujuh (7) tahun dengan pelbagai masalah jantung kongenital dijadualkan menjalani pembedahan sepanjang lima (5) hari pasukan perubatan HLH di sini dan akan dibantu oleh pakar perubatan serta kakitangan Hospital USM.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.12

“Kos pembedahan bagi penyakit jantung kongenital biasanya mencecah RM40,000 hingga RM50,000 bagi setiap kes di hospital-hospital lain. Menerusi program ini, pesakit tidak perlu menanggung kos rawatan yang tinggi kerana sebahagian besar kos tersebut ditanggung oleh Hospital USM, Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS), Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM),” katanya.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.08

Tambah Mohd Rizal, program ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu para pesakit, tetapi ia juga merupakan satu proses pemindahan ilmu dan kepakaran selain memberi pendedahan dalam merawat kes-kes yang lebih kompleks.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.13 2

“Melalui program ini, pasukan perubatan Hospital USM dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan seiring dengan perkembangan ilmu perubatan yang bergerak pantas di seluruh dunia.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.14

“Saya juga berharap agar program kebajikan ini dilaksanakan dengan lebih kerap bagi membantu lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak menjalani pembedahan sekaligus mengurangkan beban keluarga pesakit yang berhadapan dengan kos pembedahan yang tinggi dan tempoh menunggu yang lama untuk melakukan pembedahan.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.09 3

Sementara itu, seorang ibu pesakit jantung kongenital kanak-kanak yang ditemui, Fauziah Mohd Ariffin, 40, melahirkan rasa syukur atas rezeki dari Allah SWT yang tidak dijangka kerana memudahkan proses rawatan ke atas anak bongsunya Muhammad A’azz Nurulhaifi.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.10

“Lemah longlai seluruh badan saat saya mendapat berita anak yang saya lahirkan bukan sahaja menghidap ‘sindrom down’ tetapi turut menghidap penyakit jantung kongenital tiga (3) hari selepas dilahirkan 10 bulan lalu.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.12 2

“Namun, percaturan yang Allah beri sangat indah dalam membesarkan bayi istimewa ini.

WhatsApp Image 2023 10 25 at 17.19.09 2

“Terima kasih kepada Hospital USM dan pasukan perubatan HLH yang membantu meringankan beban kami kerana saya percaya sekiranya pembedahan ini dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN), ia pastinya menelan kos rawatan yang tinggi," katanya yang juga merupakan seorang guru.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman & Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 201