Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

HARI KESEDARAN HIV/AIDS : FOKUS PERKASA KOMUNITI DALAM PENCEGAHAN HIV/AIDS

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 November 2023 - ‘Human Immunodeficiency Virus’ atau HIV adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan ‘Acquired Immunodeficiency Syndrome’ (AIDS) atau singkatan bagi 'Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit' dan merupakan peringkat terakhir jangkitan HIV.

Sejak penularan HIV/AIDS pada awal 1980-an, sejumlah 85 juta orang telah dijangkiti di seluruh dunia dan 40 juta daripada jumlah tersebut maut akibat virus ini.

IMG 20231123 WA0030

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun 2022, sebanyak 1.3 juta kes jangkitan baharu HIV/AIDS di seluruh dunia dengan 630,000 kematian dicatatkan. Malah, penularan dan kematian akibat HIV/AIDS ini lebih terkesan di negara-negara yang mempunyai sumber yang terhad seperti Afrika sub-Sahara, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

IMG 20231123 WA0027

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dato’ Dr. Zaini Hussin berkata, dalam usaha menangani jangkitan HIV, kerajaan menetapkan tiga (3) sasaran utama melalui pelaksanaan Pelan Strategik 2016 untuk mengakhiri AIDS menjelang 2030.

“Sekurang-kurangnya 95 peratus (%) mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka, 95% daripada yang disahkan HIV menerima rawatan ubat anti retroviral (ARV) dan 95% daripada yang menerima rawatan mendapat jumlah virus yang terendah dalam badan mereka (viral suppression).

IMG 20231123 WA0033

“Kesedaran masyarakat mengenai sasaran ini adalah penting untuk memastikan golongan berisiko tinggi dalam komuniti dapat menjalani ujian saringan dan menerima rawatan secara komprehensif jika disahkan menghidap HIV,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Kesedaran HIV/AIDS Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

IMG 20231123 WA0028

Menurut Zaini, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 83% populasi kunci di Malaysia telah mendapatkan ujian saringan dan mengetahui status mereka pada tahun 2022.

“Walau bagaimanapun, liputan mereka yang hidup dengan HIV dan menerima rawatan AVR di Malaysia mencatatkan jumlah 68% dan kadar ini masih jauh dari sasaran 95% menjelang 2030.

IMG 20231123 WA0029

“Mesej yang penting di sini adalah perlunya usaha-usaha bagi memastikan 32% yang masih belum menerima rawatan di seluruh Malaysia tampil mendapatkan rawatan seterusnya membantu mengekang penularan HIV dalam komuniti.

“Saya menyeru masyarakat terutamanya mereka dalam kalangan populasi kunci (key population) dijangkiti HIV untuk manfaatkan perkhidmatan yang disediakan dan mendapatkan rawatan ARV tanpa berlengah,” katanya lagi.

IMG 20231123 WA0026

Sementara itu, Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman pula berkata, sebagai salah sebuah Hospital Pengajar Universiti, Hospital USM turut bertanggungjawab memainkan peranan dalam menyediakan latihan dan pengajaran berkaitan perawatan pesakit HIV/AIDS.

“Hospital USM sentiasa bersedia menerima, merawat serta berusaha mencegah penularan HIV/AIDS melalui pelbagai program komuniti selain turut menyediakan rawatan ‘Antiretroviral Therapy’ (ART) sejak 2015 lagi.

IMG 20231123 WA0031

“Unit Penyakit Berjangkit dan Jabatan Psikiatri Hospital USM memainkan peranan masing-masing dalam memberi ceramah dan motivasi kepada masyarakat selain khidmat perawatan penagihan melalui terapi gentian ‘methadone’ di ‘Addiction Treatment Clinic’,” ujar beliau.

Sambutan Hari Kesedaran HIV/AIDS Peringkat Negeri Kelantan yang bertemakan ‘Memperkasa Komuniti dalam Pencegahan HIV/AIDS’ diadakan sempena Hari AIDS Sedunia yang disambut pada 1 Disember setiap tahun di seluruh dunia.

IMG 20231123 WA0032

Sambutan kali ini agak istimewa kerana buat pertama kali ianya dianjurkan secara bersama antara JKNK, USM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 151