HARI KANAK-KANAK SEDUNIA SEBAR MESEJ PUPUK POTENSI DAN INSPIRASI MELALUI PEMBELAJARAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 November 2024 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sentiasa menghargai pesakit kanak-kanak dan bagi menambah keceriaan mereka, Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 diadakan hari ini.
Tema ’Inspiring Children Through Learning’ atau Menginspirasi Kanak-Kanak Melalui Pembelajaran ini dipilih untuk menyampaikan mesej penting tentang pendidikan dalam memupuk potensi kanak-kanak serta mewujudkan kesedaran dalam masyarakat mengenai hak kanak-kanak dan masa depan mereka sebagai aset negara.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, saban hari kanak-kanak terdedah kepada pelbagai jenis keganasan seperti pengabaian, penderaan, pengeksploitasian atau pemerdagangan.
“Hal ini boleh membantutkan perkembangan kanak-kanak daripada segi fizikal, psikologi, kognitif, emosi, sosial dan rohaniah sekaligus meningkatkan masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
“Perubahan ini turut memberi impak yang besar kepada masyarakat termasuk golongan kanak-kanak terutama dalam aspek kelangsungan pendidikan, akses kepada kesihatan dan psikososial, keselamatan dan sebagainya.
“Justeru, semua inisiatif yang dilaksanakan ke atas kanak-kanak pada hari ini merupakan satu pelaburan utama dan penting dalam segala aspek kehidupan yang memberi impak pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan.
Beliau turut menitipkan nasihat agar kanak-kanak memanfaatkan sebaik mungkin pengalaman yang positif serta terus mencuba dan melakukan perkara yang memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang sekeliling.
"Jangan lupa untuk selalu mendengar nasihat dan panduan daripada ibu bapa, ahli keluarga serta mereka yang bijaksana apabila diperlukan,” ujarnya.
Mohd Imran turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran sambutan itu terutamanya Sekolah Dalam Hospital HPUSM, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM dan Rumah Ronald McDonald (RRM) HPUSM.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan penaja Farm Fresh dan Petronas Malaysia yang turut terlibat dalam menjayakan sambutan pada hari ini dan kami amat menghargai sumbangan yang diberikan kepada pesakit," ucapnya lagi.
Sementara itu, seorang ibu pesakit, Sharifah Mohd Rawi, 35, berkata anaknya, Muhammad Syamil Haakif Mat Hisham, 7, menerima rawatan di wad pediatrik ekoran mengalami masalah pendengaran.
"Hari ini anak saya perlu mendapatkan rawatan dalam wad untuk tindakan susulan memandangkan dia merasa tidak selesa di kawasan gegendang telinga sejak beberapa bulan lalu.
"Saya tidak menyangka, kehadiran kami di HPUSM hari ini disambut meriah apabila pihak HPUSM mengadakan sambutan hari kanak-kanak dan kami turut diraikan serta menerima cenderahati dan jamuan makan yang turut menceriakan suasana," katanya ketika ditemu bual.
Seorang lagi ibu pesakit kanak-kanak, Wan Nurasilah Wan Mahmud, 43, berkata, anaknya Ahmad Hariz Ahmad Al Hilmi, 7, sepatutnya dibenarkan pulang hari ini selepas menerima rawatan akibat masalah ligamen di kawasan leher sejak minggu lalu.
"Anak saya seorang yang aktif tetapi ketika ditempatkan di dalam wad, dia agak sugul, namun sambutan hari kanak-kanak di HPUSM hari ini menceriakannya dan nanpak bersemangat menyertai aktiviti yang diadakan termasuk acara mewarna.
"Terima kasih kepada pihak HPUSM atas sambutan yang meriah ini kerana ia dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggung sekaligus menceriakan pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di sini," katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Ketua Jabatan, Jabatan Pediatrik PPSP USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Ikram Ilias; Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan, Unit Klinikal HPUSM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd; Pengurus RRM HPUSM, Nurul Wahida Harun dan Penyelia SDH HPUSM, Teo Seng Hue.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 58