Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

HARGAI PENDENGARAN: PANCAINDERA PENTING YANG SERINGKALI DIREMEHKAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Februari 2024 – Pendengaran adalah salah satu pancaindera yang terpenting, namun sering kali diambil mudah. Malaysia merekodkan lebih daripada 40,000 penduduk berdaftar sebagai orang kelainan upaya (OKU) pendengaran pada tahun 2023.

IMG 20240228 WA0032

Timbalan Dekan, Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM berkata, menurut hasil kajian terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu (1) daripada 20 orang mengalami masalah pendengaran dan statistik ini dijangka terus meningkat kepada satu (1) dalam 10 orang menjelang tahun 2050.

”Selain masalah pendengaran sejak lahir, masalah ini juga boleh berpunca daripada pendedahan kepada bunyi bising yang berlebihan dan komplikasi penyakit-penyakit lain yang membawa kepada masalah pendengaran,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2024 peringkat Kampus Kesihatan, hari ini.

IMG 20240228 WA0031

Hari Pendengaran Sedunia diperingati pada tanggal 3 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf kepentingan pendengaran dalam kehidupan kita dan ia merupakan inisiatif WHO kerana berlakunya peningkatan prevalen masalah pendengaran dalam kalangan masyarakat seluruh dunia.

Menurut Irfan, sambutan yang diadakan di USM hari ini merupakan platform bagi menyebarkan informasi dan mendorong masyarakat awam khususnya di Kelantan untuk mengambil langkah-langkah menghindari risiko masalah pendengaran dan menyediakan sokongan kepada mereka yang memerlukan perawatan pendengaran.

IMG 20240228 WA0026

IMG 20240228 WA0025

”Hospital USM sentiasa komited mempromosikan kesedaran tentang pendengaran dan menyediakan sokongan kepada mereka yang memerlukan kerana kita semua tahu, pendengaran yang sihat adalah asas kepada komunikasi berkesan dan kehidupan yang berkualiti.

“Justeru, marilah kita sama-sama belajar, berkongsi dan menghargai nilai pendengaran dalam kehidupan kita,” ujarnya lagi.

IMG 20240228 WA0027

Dalam majlis yang sama turut berlangsung penyerahan sumbangan 10 alat bantu dengar kepada Klinik Audiologi, Hospital USM oleh Syarikat 20dB Hearing Sdn. Bhd. bernilai RM24,500 dan Dr. Hearing & Speech Centre yang menyumbangkan empat (4) unit alat bernilai RM12,000 untuk disalurkan kepada pesakit-pesakit bermasalah pendengaran yang memenuhi kelayakan.

IMG 20240228 WA0029

IMG 20240228 WA0030

Sambutan yang berlangsung selama dua (2) hari ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain seperti ceramah kesihatan, gerai pameran alatan pendengaran, pemeriksaan kesihatan di Klinik Audiologi secara percuma dan banyak lagi.

IMG 20240228 WA0028

Turut hadir ialah Ketua Perkhidmatan Inovasi dan Penyelidikan, Unit Klinikal Hospital USM, Dr. Saiful Azlan Mohamed; Timbalan Ketua Profesion Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sulaiman Hamzah; Ketua Bidang Negeri, Profesion Pemulihan Perubatan (Pertuturan), Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, KKM, Azmawanie Ab. Aziz; Penyelaras Saringan Pendengaran Bayi Baru Lahir Negeri Kelantan, Siti Fatimah Azzahra Zainudin dan Pengarah Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2024 peringkat Kampus Kesihatan, Mohd Khary Hussain.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 82