Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

GUNA MEDIA SOSIAL DENGAN BETUL ELAK PENGARUH NEGATIF

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2024 - Penggunaan media sosial perlu disalurkan dengan maklumat yang baik serta memberi manfaat bagi mengelakkan pengaruh negatif yang boleh mempengaruhi akhlak dan moral.

Penyalahgunaan media sosial dalam kalangan remaja mahupun dewasa menerusi beberapa kajian turut mengaitkan penggunaan media sosial yang terlampau akan mengundang perasan cemas, depresi atau kemurungan.

IMG 20241014 WA0027

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, walaupun Malaysia tidak mempunyai angka yang tepat berhubung masalah kesihatan mental dan kaitan isu itu dengan penggunaan media sosial, namun melalui hasil kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2015, pakar percaya jumlah penghidap masalah kesihatan mental meningkat seiring penggunaan media sosial.

IMG 20241014 WA0028

"Masalah kesihatan mental kini dikenal pasti melibatkan golongan belia secara tersembunyi hingga akhirnya merosakkan modal insan masa depan negara.

IMG 20241014 WA0031

"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk mendidik ahli keluarga dan masyarakat tentang penggunaan media sosial yang betul agar memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kampus Kesihatan USM, di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), di sini hari ini.

IMG 20241014 WA0030

Shaiful turut menyeru warga Kampus Kesihatan sempena Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Universiti Madani’ supaya menggunakan saluran media sosial termasuk kemajuan teknologi kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ (AI) sebagai wadah untuk sentiasa berada di hadapan dalam berkongsi nilai-nilai yang baik dan cemerlang selaras moto USM iaitu ‘Kami Memimpin’.

Tambahnya, selaku umat Nabi Muhammad SAW, perjuangan baginda Rasulullah SAW terdahulu perlu diingati ketika menyebarkan dakwah Islam memandangkan hasil susah payah baginda, kini umat Islam berjaya mengecapi nikmat Islam dan Iman.

“Saya berharap agar penganjuran Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini akan menyuntik rasa sedar dan sentiasa berusaha memperbaiki akhlak serta meneguhkan jati diri sebagai seorang muslim bagi menempuh pancaroba kehidupan di dunia yang sementara ini bagi kecemerlangan duniawi dan bahagia ukhrawi.

IMG 20241014 WA0029

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras dalam menjayakan program ini kerana tanpa usaha gigih dan kerjasama yang erat, program ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Semoga segala usaha yang kita lakukan pada hari ini akan diterima dan diberkati oleh Allah SWT dan berharap agar program seumpana ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penyertaan dan sokongan daripada warga kampus,” katanya mengakhiri ucapan.

IMG 20241014 WA0032

IMG 20241014 WA0033

Sambutan Maulidur Rasul ini turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan selawat serta tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Mokhtar Yaakob.

Hadir sama dalam program ini ialah Pengarah HPUSM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas), Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Ifran Mohamad dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Amira Ab Sattar.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 22