GANGGUAN SEKSUAL DI TEMPAT KERJA USAH DIPANDANG ENTENG
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Oktober 2024 - Gangguan seksual di tempat kerja merupakan satu isu yang amat serius dan memerlukan perhatian serta tindakan segera daripada semua pihak.
Perlakuan terbabit bukan sahaja boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental individu yang terlibat, malah memberi kesan negatif terhadap suasana dan persekitaran tempat kerja.
Timbalan Pengarah Operasi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof berkata, sebagai sebuah institusi yang menjunjung tinggi integriti, maruah dan keselamatan, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan warga Universiti Sains Malaysia (USM) bebas daripada sebarang bentuk gangguan seksual.
"Justeru, program 'Town Hall' Kesedaran Gangguan Seksual yang diadakan pada hari ini diharap menjadi platform yang sangat penting kepada warga Kampus Kesihatan untuk berdiskusi secara terbuka mengenai masalah ini.
"Di samping itu, ia juga memberi ruang kepada semua untuk mendengar, berkongsi pengalaman dan mencari penyelesaian yang tuntas dalam menangani gangguan seksual di dalam kampus.
"Program ini juga mencerminkan komitmen universiti untuk membina persekitaran pembelajaran dan pekerjaan yang selamat, inklusif dan saling menghormati antara satu sama lain," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program tersebut, hari ini.
Menurut Mohd Imran, pihak pengurusan HPUSM dan USM amat tegas dan sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk gangguan seksual.
"USM mempunyai polisi yang jelas, saluran aduan yang efektif dan sokongan daripada segi kaunseling serta tindakan disiplin untuk menangani sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kes gangguan seksual ini.
"Pengurusan USM mahu semua warga kampus tahu bahawa mereka mempunyai hak untuk melaporkan sebarang gangguan dan setiap aduan akan diambil serius serta perlu mendapat keadilan.
"Kami tidak akan berkompromi terhadap kesalahan gangguan seksual dan pesalah laku akan dikenakan hukuman yang tegas bagi memastikan maruah mangsa terbela," ujarnya lagi.
Mohd Imran turut berharap agar sesi 'town hall' ini membawa manfaat yang besar dan membuka lembaran baharu dalam usaha membanteras gangguan seksual.
Dalam sesi 'town hall' terbabit, dua (2) penceramah telah menyampaikan taklimat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual USM, Profesor Dato' Dr. Noraida Endut dan Penasihat Undang-undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Penasihat Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual USM, Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim dan Ahli Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual USM, Profesor Madya Dr. Zaharah Sulaiman.
Teks:Rosalwani Che Soh/ Foto:Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 60