FASA KETIGA PROGRAM PASUKAN KESEJAHTERAAN HOSPITAL USM – POS PASIK TENTUKAN PENILAIAN HASIL DAN KAJIAN LANJUTAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Ogos 2024 - Fasa Ketiga Program Pasukan Kesejahteraan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) – Pos Pasik telah dilaksanakan pada 2 Ogos lalu di Pos Pasik, Gua Musang bagi menilai keberkesanan dan hasil pendidikan kesihatan serta program ‘Training of Trainers’ (ToT) yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif USM untuk terus memperkasakan agenda ‘Accelerated Program for Excellence’ (APEX) bagi membantu golongan terkebawah iaitu masyarakat orang asli untuk meningkatkan kemahiran mereka mengenai ilmu rawatan awal kecemasan.
Dalam fasa ini, pasukan dari Hospital USM mengunjungi perkampungan orang asli untuk menilai perkembangan aktiviti para sukarelawan selepas sesi ToT selain meneliti buku rekod kesihatan para pesakit termasuk bacaan tanda vital yang diambil sepanjang lapan (8) bulan lalu bersama gambar-gambar rawatan asas kecemasan dan aktiviti penjagaan kesihatan yang telah dijalankan.
Temu bual secara rawak juga dilakukan dalam kalangan penduduk setempat untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai keberkesanan program. Selain itu, kajian ‘post-intervention’ akan dilaksanakan untuk menilai perubahan dari aspek pengetahuan, sikap dan amalan berkenaan perubatan kecemasan dalam kalangan komuniti orang asli.
Program yang diketuai oleh Ketua Jabatan, Jabatan Kecemasan, Hospital USM yang juga merupakan Ketua Pengarah Projek, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab itu turut dibantu oleh 12 orang pelajar Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan), lima (5) jururawat dan tiga (3) orang doktor gigi bagi memastikan program ini berjalan lancar.
Sebanyak tujuh (7) buah kenderaan pacuan empat (4) roda terlibat dalam program ini bagi membawa pasukan dan peralatan yang diperlukan untuk melaksanakan penilaian dan kajian terhadap komuniti orang asli. Kejayaan fasa ini akan menjadi indikator penting untuk langkah seterusnya dalam meningkatkan kesejahteraan kesihatan komuniti orang asli.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Foto: Dr. Muhamad Akmal Mohammad
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 14