‘DUTA KESIHATAN’ ANTARA KEJAYAAN USM BENTUK PASUKAN SUKARELAWAN DALAM KALANGAN ORANG ASLI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasakan agenda ‘Accelerated Program for Excellence’ (APEX) membantu golongan terkebawah iaitu masyarakat orang asli untuk meningkatkan kemahiran mereka mengenai ilmu rawatan awal kecemasan melalui pelaksanaan Program 'Training of Trainer' (TOT) Pasukan Sukarelawan USM - Pos Pasik sejak Julai lalu.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, selain pemerkasaan agenda APEX, penglibatan USM kepada pembangunan masyarakat turut mendapat pengiktirafan terbaik di peringkat antarabangsa melalui penarafan ‘Sustainable Development Goals’ (SDG17) dalam konteks ‘Partnerships for The Goal’.
“Petugas kesihatan USM yang turun padang dan menyumbang kepada masyarakat terutama kepada mereka yang tinggal jauh di pedalaman untuk menaiktaraf kehidupan terutama dari segi kesihatan merupakan satu inisiatif mulia.
"Ini terbukti melalui penganjuran pertama Program Pasukan Sukarelawan USM bersama orang asli di Pos Balar, Gua Musang yang mana USM berjaya melatih seramai 10 orang sukarelawan pada tahun lepas," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penutup Program TOT Pasukan Sukarelawan USM-Pos Pasik di Auditorium Perubatan Kecemasan, hari ini.
Tambah Shaharum, para sukarelawan ini telah diberikan latihan asas mengenai perawatan awal kecemasan berkaitan penjagaan gigi dan luka.
"Lebih membanggakan apabila salah seorang ahli pasukan sukarelawan terlatih itu berjaya menggantikan ‘porter’ (wakil orang asli yang menguruskan orang sakit) dari Pos Balar kerana kemahiran beliau merawat dan mengendalikan orang sakit.
“Pemindahan ilmu seperti ini membolehkan duta kesihatan yang dilatih terus memberi bantuan awal pertolongan cemas di perkampungan orang asli sebelum bantuan dari luar tiba,” jelasnya lagi.
Shaharum berkata, program di Pos Balar merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat orang asli di sana.
“Pemindahan ilmu sebegini terus diberi kepercayaan untuk mendapatkan dana dari Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani selain turut memperolehi persetujuan dari pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk meneruskan kesinambungan program seumpamanya di Pos Pasik.
“Hari ini kami mengalukan-alukan kedatangan 15 orang sukarelawan dari Pos Pasik yang dibawa ke USM untuk menjalani program TOT.
"Semoga peluang ini digunakan dengan sebaiknya oleh semua sukarelawan untuk mempelajari ilmu berkaitan perawatan awal kecemasan, penjagaan gigi dan penjagaan luka,” ujarnya.
Shaharum turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut terutama petugas dari Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Unit Kejururawatan Hospital USM dan JAKOA.
Turut hadir ialah Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Timbalan Dekan (Libatsama Industri- Komuniti dan Pembangunan), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan merangkap Pengarah Projek Penubuhan Pasukan Sukarelawan USM-Pos Pasik, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 75