Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

DIET YANG BETUL ELAK KOMPLIKASI SERIUS BUAH PINGGANG

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 April 2024 – Penjagaan buah pinggang sangat penting bagi mengelak sebarang kerosakan dan kemerosotan fungsi buah pinggang yang boleh menyebabkan gangguan kepada fungsi sedia ada dan menjerumuskan seseorang pesakit kepada tahap penyakit buah pinggang kronik serta kegagalan buah pinggang.

Secara global, lebih 850 juta penduduk dunia menghidap penyakit buah pinggang manakala di Malaysia pula lebih 4.7 juta individu menghidap penyakit buah pinggang kronik dengan pertambahan sekitar 9,500 orang pesakit baru setiap tahun dan lebih 49,000 pesakit sedang menjalani rawatan hemodialisis di seluruh negara pada tahun 2022.

WhatsApp Image 2024 04 07 at 09.27.56

Pegawai Dietetik, Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hakim Zakaria berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2023, kira-kira 106,000 pesakit dijangka akan mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir menjelang tahun 2040 dengan 35 peratus (%) adalah golongan yang berusia 45 tahun.

“Data menunjukkan lebih 64% yang menjalani rawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang datangnya daripada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes dan mereka ini adalah golongan paling berisiko menghidap penyakit ini.

“Selain dari pesakit kencing manis, antara golongan pesakit lain yang juga berisiko adalah pesakit hipertensi, batu karang, obesiti, pesakit yang memiliki sejarah keradangan buah pinggang dan pesakit yang kerap mengamalkan pengambilan produk- produk tertentu", katanya ketika ditemu bual dalam segmen Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Mohd Hakim, cara pemakanan bagi pesakit buah pinggang kronik atau ‘Cronic Kidney Disease’ (CKD) dan ‘End Stage Renal Failure’ (ESRF) adalah sangat berbeza serta perlu diberi perhatian khusus berbanding individu sihat bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

“Bagi pesakit ini terutamanya pesakit kronik, mereka perlu mengawal pengambilan protein pada tahap yang minima sekitar 0.6 gram (g) per kilogram (kg) berat badan dan bagi pesakit yang telah menjalani rawatan dialisis, mereka perlu mengambil protein lebih tinggi iaitu sekitar 1.2g per kg berat badan.

"Ini kerana pesakit yang menjalani dialisis memerlukan pertukaran protein yang lebih tinggi kerana sebilangan protein sedia ada dalam badan dibuang semasa proses dialisis berjalan sekitar 10g hingga 14g.

“Komponen-komponen dalam makanan pesakit CKD dan ESRF adalah sama, namun sukatannya berbeza. Contohnya sukatan cecair dan garam bagi pesakit yang menjalani dialisis perlu mengikut saranan sukatan pengambilan makanan kerana dibimbangi terjadi masalah sembab atau pembengkakan jantung tetapi bagi pesakit CKD tidak perlu kerana masih boleh mengeluarkan urin dan sebagainya", ujarnya lagi.

Mohd Hakim berkata, pesakit buah pinggang juga perlu mengawal pengambilan fosfat yang tinggi seperti air berkarbonat dan makanan berproses kerana boleh menyebabkan tulang rapuh, masalah jantung dan pembengkakan kelenjar paratiroid.

“Gejala potassium tinggi dalam darah iaitu hyperkalemia yang terkandung dalam makanan seperti kurma, durian, cempedak, nangka, pisang, makanan dalam tin dan herba juga boleh mengakibatkan ketidakstabilan kepada degupan jantung dan seterusnya mengakibatkan komplikasi serius.

“Sekiranya kita sedang menghidapi apa-apa penyakit metabolik seperti diabetes, darah tinggi atau kolesterol, sila pantau tahap gula dan kolesterol dalam darah kerana kandungan gula dalam darah yang tak terkawal terutamanya bagi pesakit diabetes berisiko menyebabkan nefropati diabetik iaitu kegagalan tisu buah pinggang yang disebabkan oleh masalah diabetes", jelasnya lanjut.

Mohd Hakim turut menasihatkan orang ramai yang suka membeli ubat-ubatan secara atas talian agar merujuk kepada doktor terlebih dahulu bagi mengelak sebarang tindak balas dan pesakit perlu mengambil langkah merujuk kepada institusi kesihatan sekiranya berlaku sebarang masalah kepada kesihatan mereka.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 154