Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

CDL: GABUNGAN PELBAGAI MAKMAL RUTIN DIAGNOSTIK PERKEMAS PERKHIDMATAN MAKMAL HOSPITAL USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 November 2023 – “Perkhidmatan makmal diagnostik sangat penting dalam perawatan pesakit kerana ia bertanggungjawab menganalisa sampel pesakit bagi membantu pengamal perubatan melakukan diagnosis, memantau perkembangan penyakit dan tindak balas kepada intervensi rawatan,” demikian kata Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.

IMG 20231121 WA0022

Menurut beliau, penubuhan ‘Central Diagnostic Laboratory’ (CDL) merupakan penambahbaikan yang dilakukan dalam perkhidmatan makmal diagnostik di Hospital USM dengan menggabungkan beberapa makmal rutin diagnostik.

IMG 20231121 WA0019

“CDL merupakan makmal pertama di Hospital USM yang menggabungkan ujian-ujian rutin ke dalam sistem ‘Total Laboratory Automation’ (TLA) di mana sistem ini diwujudkan untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan selain mengurangkan ‘turn around time’ serta mewujudkan persekitaran yang kondusif.

IMG 20231121 WA0017

“Kini, sistem TLA di CDL turut menjadi rujukan kepada makmal-makmal lain yang menggunakan sistem sama di Malaysia.

IMG 20231121 WA0020

“Hal ini sangat bertepatan selaras dengan tekad dan iltizam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan makmal diagnostik Hospital USM,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian CDL, hari ini.

IMG 20231121 WA0024

Tambah Nik Hisamuddin, beliau bangga dengan pencapaian CDL kerana menjadi matlamat pengurusan universiti untuk menawarkan perkhidmatan baharu seiring perkembangan teknologi dan peralatan yang dibekalkan.

IMG 20231121 WA0016

“Bagi pihak pengurusan Hospital USM, saya mengharapkan perkhidmatan CDL ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua kakitangan hospital dan pesakit yang terlibat seterusnya memberi impak positif kepada kewangan hospital melalui proses penjimatan dan juga penjanaan.

IMG 20231121 WA0021

“Pihak pengurusan sentiasa memberi sokongan kepada CDL untuk terus meningkatkan mutu kualiti dan mencapai kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan yang profesional bagi memenuhi keperluan pelanggan seterusnya menjadi pusat rujukan serantau,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sebelum ini makmal diagnostik di Hospital USM menjalankan ujian-ujian rutin dan beroperasi 24 jam di tempat yang berasingan. Setelah penubuhan CDL, perkhidmatan telah tertumpu pada satu tempat termasuk pusat penerimaan spesimen dengan hanya penggunaan satu ‘Laboratory Information System’ (LIS).

IMG 20231121 WA0018

Turut hadir ialah Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan; Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan, Unit Klinikal Hospital USM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd dan Penyelaras Operasi CDL, Hospital USM, Dr. Wan Norlina Wan Azman.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 529