Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

CAKNA UBAT ANDA: FAHAMI KEPERLUAN ELAK PEMBAZIRAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Disember 2022 - Ahli farmasi merupakan kerjaya profesional kesihatan yang sangat penting selain doktor, jururawat, paramedik dan profesion kesihatan lain dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit.

IMG 20231204 WA0025

Profesion ini telah bertapak di Malaysia seawal tahun 1951 apabila Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 berkuat kuasa.

Secara tradisi, kerjaya dalam bidang farmasi dilihat sebagai pemberi ubat melalui kaunter di hospital atau di klinik sahaja. Seiring dengan peredaran masa, peranan yang dimainkan oleh Jabatan Farmasi semakin berkembang dan mencabar.

IMG 20231204 WA0021

Menurut Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, bidang farmasi telah melalui evolusi yang pesat mengikut arus perubahan zaman.

“Kini, farmasi bukan sekadar tempat mendapat ubat semata-mata, tetapi konsep berpusatkan pesakit atau 'patient-centered’ diberi penekanan.

“Saya percaya perkhidmatan yang digerakkan oleh Jabatan Farmasi Hospital USM secara berterusan kepada pesakit berupaya menangkis dan memerangi maklumat yang tidak tepat dalam pendidikan kepada pesakit melalui pelbagai medium sama ada secara berdepan atau alam maya, katanya ketika berucap dalam Majlis Bersama Pengarah Hospital USM Siri 6 yang berlangsung di Auditorium, Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

IMG 20231204 WA0022

Nik Hisamuddin berkata, “Farmasi dan Ubat, Berpisah Tiada” dipilih sebagai tema majlis sambutan pada kali ini kerana bermula dengan proses perolehan ubat-ubatan sehingga pembekalan ubat yang betul dan selamat serta pemonitoran keberkesanan ubat secara berterusan kepada pesakit, sememangnya mempunyai maksud yang sangat signifikan dengan farmasi.

“Meskipun peruntukan terhad, penyampaian perkhidmatan kesihatan perlu diteruskan dan dipertingkatkan.

“Di Hospital USM, kadar caj ubat pesakit luar bagi warganegara Malaysia cuma dikenakan bayaran RM12 untuk bekalan ubat bagi tempoh empat (4) minggu dan nilai ini sangat rendah jika dibandingkan dengan kadar caj di hospital lain serta harga sebenar ubat bersama perkhidmatan yang diberikan.

“Ini membuatkan segelintir pesakit mengambil mudah, tidak cakna, tidak menghargai kemudahan yang diberikan malahan memulangkan semula ubat-ubatan yang melepasi tarikh luput dan tidak digunakan,” ujarnya lagi.

IMG 20231204 WA0020

Tambah Nik Hisamuddin, dalam mendepani pelbagai isu berkaitan ubat di samping cabaran sumber kewangan yang terhad, farmasi telah melaksanakan pelbagai langkah penjimatan berhemat bagi mengoptimum perbelanjaan.

“Kita juga sedar kemajuan pesat dalam teknologi menjadikan akses atau capaian maklumat ubat menjadi sangat mudah.

IMG 20231204 WA0023

“Ini menyebabkan pesakit terdedah kepada pelbagai mitos berkaitan ubat-ubatan dan ia turut menjadi salah satu punca kepatuhan terhadap ubat-ubatan menjadi rendah.

“Ada pesakit yang percaya jika terlalu banyak mengambil ubat di hospital akan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan akhirnya ubat yang dibekalkan tidak digunakan dengan betul dan ia mengakibatkan kerugian bernilai ribuan ringgit,” jelasnya.

Nik Hisamuddin turut berharap agar program seumpama ini memberi banyak pendedahan dan pengetahuan berkaitan perkhidmatan farmasi di Hospital USM serta memperkukuhkan sistem penyampaian kesihatan dan meningkatkan tahap kesejahteraan pesakit dan orang ramai.

IMG 20231204 WA0024

Program tersebut turut diisi dengan pelancaran laman sesawang Jabatan Farmasi, Hospital USM.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, Timbalan Pendaftar Kanan, Hospital USM, Saberi Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Farmasi, Jabatan Farmasi, Hospital USM, Mohd Hanif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama Pengarah Hospital USM Siri 6, Noor Shufiza Ibrahim.

Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 91