Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

CAKNA KEBERSIHAN DAN PENYEDIAAN MAKANAN, ELAK KERACUNAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Jun 2024 – Pengurusan penyediaan makanan yang selamat adalah langkah-langkah yang diambil bagi memastikan makanan yang disediakan bebas daripada pencemaran dan selamat untuk dimakan.

Penyediaan makanan merangkumi pelbagai peringkat termasuk pemilihan bahan mentah, penyimpanan, penyediaan dan penghidangan.

Peringkat pemilihan dan penyimpanan bahan mentah seperti daging, ayam dan hasil tenusu perlu disimpan pada suhu yang betul dan teliti untuk memastikan ianya segar dan bebas daripada kerosakan serta mengelakkan pertumbuhan bakteria berbahaya.

IMG 20240626 WA0013

Pensyarah, Program Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zafirah Mohd Nor, berkata, penggunaan bekas kedap udara dan pelabelan tarikh penyimpanan membantu dalam menguruskan tempoh kesegaran makanan dan amalan menyusun makanan mengikut prinsip ‘First In, First Out’ (FIFO) boleh diamalkan bagi memastikan makanan yang lebih lama disimpan digunakan terlebih dahulu untuk mengelakkan pembaziran dan kerosakan.

“Kebersihan peribadi seperti mencuci tangan dengan sabun sebelum dan selepas mengendalikan makanan serta memastikan dapur dan peralatan bersih memainkan peranan penting dalam mencegah pencemaran silang selain memastikan makanan selamat untuk dimakan serta mengelak daripada menjadi punca keracunan makanan.

“Keracunan makanan merupakan satu wabak penyakit bawaan makanan di mana dua (2) atau lebih individu mengalami penyakit yang sama selepas makan makanan yang sama dan disahkan dengan analisis ujian makmal bahawa makanan tersebut menjadi punca kepada gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Zafirah, terdapat tiga (3) faktor yang menyebabkan makanan tidak selamat atau tercemar iaitu pencemaran kimia yang terjadi ketika fasa pengeluaran dan pemprosesan makanan, pencemaran fizikal di mana makanan boleh tercemar oleh benda asing seperti serpihan kaca, logam atau plastik ketika pemprosesan dan pencemaran biologi di mana makanan boleh tercemar oleh bakteria atau virus, contohnya 'Salmonella', 'E. Coli' dan 'Listeria' yang boleh dijumpai dalam makanan mentah seperti daging, telur dan sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan bersih.

“'Salmonella', 'E. Coli', dan 'Campylobacter' dapat berkembang biak di dalam makanan jika tidak disimpan atau dimasak dengan betul dan apabila makanan yang dicemari bakteria ini dimakan, bakteria tersebut menghasilkan toksin atau menyebabkan infeksi dalam tubuh manusia yang mengarah kepada gejala seperti mual, muntah dan demam.

“Selain itu, ada juga mikroorganisma yang menghasilkan toksin dapat bertahan dalam makanan meskipun dimasak contohnya bakteria 'Staphylococcus Aureus' yang tetap menghasilkan toksin walaupun makanan sudah dimasak malah kesannya boleh menyebabkan gejala keracunan makanan dalam waktu yang singkat apabila dimakan,” katanya lagi.

Menurut Zafirah, bagi mengelakkan keracunan makanan terjadi, pengendali makanan wajar menitikberatkan persediaan makanan yang selamat seperti basuh tangan dengan cara yang betul, memastikan ruang dan peralatan untuk memasak seperti pisau dan papan pemotong bersih, basuh sayur-sayuran di bawah air yang mengalir untuk membuang segala kekotoran seperti pasir terlebih dahulu sebelum dimasak, memasak makanan sehingga mendidih dan makanan mentah disimpan berasingan dengan makanan yang sedia dimakan.

“Untuk penyimpanan, makanan yang telah dimasak dan tidak dimakan perlu disimpan dalam peti sejuk dalam tempoh tidak melebihi dua (2) jam selepas dimasak serta pastikan suhu peti sejuk adalah di antara kosong (0) darjah celsius (°C) hingga empat (4)°C dan jangan simpan makanan yang telah dimasak lebih daripada tiga (3) hingga empat (4) hari di dalam peti sejuk.

“Sekiranya makanan yang dibeli itu dibungkus untuk dibawa pulang, ia perlu dimakan segera dalam tempoh kurang empat (4) jam selepas dibungkus dan sekiranya makanan tersebut rosak, mempunyai bau yang kuat serta berubah warna atau kelihatan berlendir, sila elak daripada memakan makanan tersebut.

"Makanan yang dibungkus sebaiknya dipanaskan sebelum dihidangkan," jelasnya.

Zafirah turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa tarikh luput makanan walaupun ia masih kelihatan baik dan mengikut arahan penyimpanan yang betul seperti yang disertakan pada setiap makanan.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 21