BOLING AMBANG MERDEKA HOSPITAL USM MERIAH PENUH SEMANGAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2024 - Berkonsepkan Kemerdekaan, Kejohanan Boling Ambang Merdeka 2024 anjuran Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) pada 22 Ogos lalu meriah dengan penyertaan seramai 88 orang pemain mewakili 22 pasukan termasuk dalam kalangan pengurusan hospital.
Walaupun hanya bermain sebanyak dua (2) permainan, namun hadiah yang disediakan nyata tidak mengecewakan. Berbekalkan jatuhan pin sebanyak 1132, pasukan Mat Kilau yang dibarisi pemain Mohd Yuzmuhaimizee Yaacob, Mohd Zaki Othman, Wan Nur Adlina Wan Mansor dan Muhammad Amirul Firdan Marzan mengungguli kejohanan sebagai Juara Berpasukan menewaskan pasukan Labu-Labi di tempat kedua dengan perbezaan 23 pin manakala pasukan Gold di tempat ketiga. Kesemua pasukan menerima medal dan hamper manakala pasukan Farmasi HUSM dan Unknown 7 yang berada pada kedudukan keempat dan kelima turut menerima cenderamata kenangan. Raja Boling kejohanan disandang oleh Muhammad Saidi Mat Saupi daripada pasukan Gold dengan jatuhan pin sebanyak 347 manakala Ratu Boling diraih oleh Wan Nur Adlina Wan Mansor pemain wanita pasukan Mat Kilau yang berjaya mengutip 315 jatuhan pin.
Pasukan UPD Horray yang diwakili oleh staf Unit Pemakanan dan Dietetik tampil bergaya bermain di lorong lapan (8) dengan pakaian berwarna ceria dan memenuhi kriteria tema kemerdekaan. Nyata kesungguhan tersebut tidak sia-sia bila mana pasukan ini dipilih menerima hadiah khas iaitu pasukan yang menepati tema kemerdekaan.
Lebih mengujakan para peserta, sebanyak 40 hadiah cabutan bertuah disediakan oleh penganjur sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas sambutan yang diberikan. Kemeriahan dan semangat kemerdekaan meresapi jiwa pemain bila mana pihak pengurusan ‘Lite Superbowl JB7’ (LSBJB7), Mydin Mall Tunjung turut memainkan lagu-lagu patriotik kemerdekaan sepanjang perlawanan berlangsung.
Sambutan hebat sejak hari pertama pendaftaran dibuka nyata di luar jangkaan pihak penganjur. Penyertaan kejohanan kali ini hanya memberi keutamaan kepada pemain amatur dan rata-rata mereka menyokong usaha sebegini bagi memberi peluang staf Hospital USM yang berminat dalam sukan tenpin boling memberanikan diri menyertai perlawanan tanpa dibayangi pemain-pemain yang pernah mewakili universiti. Ini juga merupakan projek serampang dua mata dalam mencari bakat-bakat baharu sebagai atlet pelapis pasukan boling USM.
Hadiah-hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud yang turut menampilkan aksi tersendiri melakukan balingan pertama sebagai gimik perasmian kejohanan dan Timbalan Pendaftar Kanan Hospital USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Merdeka Peringkat Hospital USM, Mohd Saberi Mohd Yusoff.
Turut sama memeriahkan kejohanan ialah Timbalan Bendahari, Kampus Kesihatan USM, Zamahshari Abd Ghani, Ketua Unit, Unit Pematuhan dan Pengurusan Risiko (UPPR), Hospital USM, Amira Abdul Sattar @ Ismail serta tidak ketinggalan Ketua Unit, Unit Pemakanan dan Dietetik, Wan Rimei Salha Wan Abdul Rani.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Syakirin Hakim Khairul Nizam
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 11