BERLARI SAMBIL BERAMAL, KUTIPAN DANA TABUNG KEBAJIKAN BANTU PESAKIT MEMERLUKAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2023 – Dalam usaha mempromosi dan mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Unit Pembangunan Korporat dengan kerjasama Unit Kerja Sosial Perubatan menganjurkan Larian Amal Sempena Sambutan 40 Tahun Hospital USM.
Program ini antara lain bertujuan membantu pesakit miskin atau tidak berkemampuan menjalani rawatan yang sempurna seperti golongan lain ketika mendapatkan rawatan di Hospital USM, hari ini.
Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, program ini memberi peluang kepada orang perseorangan dan syarikat korporat menghulurkan derma kepada golongan yang memerlukan.
“Hasilnya, golongan miskin atau tidak berkemampuan berpeluang mendapatkan rawatan di Hospital USM tanpa merasakan diri mereka terpinggir.
“Selain itu, larian amal ini juga bertujuan menggalakkan masyarakat bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan menyertai aktiviti yang memberi faedah kepada kesihatan sekaligus mencegah penyakit gaya hidup sedentari,” katanya ketika berucap di majlis perasmian program tersebut.
Tambah Nik Hisamuddin, program sebegini juga dilihat dapat melahirkan individu sihat melalui aktiviti larian ke arah mewujudkan masyarakat cergas, sihat dan sejahtera.
“Semangat kesukanan dan jalinan muhibah dalam kalangan masyarakat di negeri Kelantan juga dapat dipupuk melalui penganjuran program seperti ini.
“Saya juga berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang dan dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha mengumpul dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital USM kerana sokongan pelbagai pihak amat diperlukan untuk kebaikan diri, keluarga serta seluruh masyarakat,” jelasnya lagi.
Seramai 564 peserta mengambil bahagian dalam acara larian tersebut yang berlangsung seawal jam 7.00 pagi di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi) Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Penyelaras Unit Pembangunan Korporat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Larian Amal Sempena Sambutan 40 Tahun Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani@ Ab. Ghani.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 146