Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

BERGERAK BERSAMA, BIAR MIMPI JADI REALITI - PENGARAH HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN 7 Januari 2025 - "Mimpi kita bukan mimpi yang poyo", demikian ucapan bersahaja tetapi dengan harapan menggunung tinggi dari Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato' Dr. Ab. Rahman Izaini Ghani @ Ab. Ghani dalam pertemuan pertama bersama warga HPUSM di Auditorium Blok Pentadbiran sempena Majlis Perutusan Pengarah HPUSM 2025, hari ini.

IMG 20250107 WA0016

IMG 20250107 WA0018

Menurut beliau, tiga (3) sumber utama yang menjadi tunggak kewujudan HPUSM selama ini iaitu sumber manusia, infrastruktur dan pelanggan jika digabung secara mampan pastinya akan menjadikan HPUSM lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Komitmen terhadap kecemerlangan perkhidmatan kesihatan dan kelestarian institusi merupakan usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan bagi memastikan institusi mampu bertahan dalam jangka masa yang lama,” ujarnya.

IMG 20250107 WA0014

IMG 20250107 WA0019

Ab. Rahman Izaini turut menggariskan tujuh (7) fokus utama yang akan menjadi panduan strategik HPUSM bagi tahun 2025.

“Antara aspek utama yang diketengahkan adalah pendanaan dan kemampanan kewangan, di mana hospital akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan kestabilan kewangan bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan berkualiti.

 IMG 20250107 WA0015

“Selain itu, aspek keselamatan pesakit dan kakitangan turut menjadi keutamaan melalui pemerkasaan prosedur kerja serta peningkatan infrastruktur keselamatan.

“Projek khas seperti menaik taraf pintu masuk utama hospital juga akan dilaksanakan bertujuan meningkatkan kawalan keluar masuk pelanggan dan pesakit HPUSM,” jelasnya lagi.

IMG 20250107 WA0020

Beliau berkata, inisiatif baharu akan diperkenalkan melalui Tabung Kebajikan Pesakit bagi membantu mereka yang memerlukan selain berhasrat untuk terus membangunkan infrastruktur dan aset sedia ada dalam memastikan ia selaras dengan keperluan terkini.

“Transformasi digital melalui Sistem Maklumat Hospital (HIS) juga akan direalisasikan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penyampaian perkhidmatan.

“Di samping itu, usaha turut difokuskan kepada pengamalan etika budaya korporat dan mengutamakan nilai integriti yang bertujuan memperkukuh identiti korporat dalam kalangan warga hospital bagi mencerminkan profesionalisme serta kecemerlangan HPUSM,” katanya.

IMG 20250107 WA0022

Ab. Rahman Izaini turut mengetengahkan dua (2) strategi utama bagi memastikan pengurusan kewangan dan perkhidmatan lebih cekap.

“Strategi pertama adalah memperkasakan hasil pendapatan melalui peningkatan pendapatan kasar daripada sumber dalaman dan luaran, semakan kadar perkhidmatan serta memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

“Bagi strategi kedua pula, ia akan menumpukan kepada penurunan hutang pesakit, meningkatkan kutipan dana Tabung Kebajikan Pesakit, melaksanakan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan mengurangkan kes berkaitan keselamatan pesakit serta kakitangan.

IMG 20250107 WA0017

“Langkah ini dijangka membantu HPUSM mencapai matlamat sebagai pusat perubatan unggul dan kekal relevan dalam sektor kesihatan,” terangnya.

Menurut Ab. Rahman Izaini, selain strategi tersebut, HPUSM turut memfokuskan kemampanan program komuniti sejajar dengan kemudahan infrastruktur dan kepakaran yang ada.

IMG 20250107 WA0021

“Selain itu, HPUSM juga bercita-cita untuk terus unggul dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran, pembangunan kepimpinan profesional dan penjanaan pendapatan.

“Langkah strategik ini mencerminkan komitmen HPUSM dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit serta memastikan pertumbuhan yang berterusan dalam sektor kesihatan,” ujarnya lagi.

Situasi masa kini HPUSM yang menjadi tumpuan daripada pelbagai aspek memerlukan komitmen seluruh warga kerja untuk bergerak bersama bagi memastikan impian mewujudkan 'Bandar Perubatan Pintar' dapat direalisasikan.

IMG 20250107 WA0023

Majlis Perutusan Pengarah HPUSM 2025 turut diserikan dengan penyerahan surat pelantikan kepada barisan Pengurusan Tertinggi HPUSM iaitu Timbalan Pengarah (Klinikal), Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi) Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian), Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Mohd Saberi Mohd Yusoff.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 18