Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

BENTANG PENEMUAN BAHARU PERAWATAN PENYAKIT JANTUNG FOKUS UTAMA APCU@USM 2023

KOTA BHARU, KELANTAN, 21 Oktober 2023 – Penyakit kardiovaskular adalah salah satu punca utama kematian di Malaysia dan penyakit jantung koronari merupakan penyumbang utama kepada jumlah kematian tersebut. 

IMG 20231021 WA0005

Pada tahun 2021, jumlah kematian akibat penyakit ini adalah sebanyak 17.0 peratus (%) daripada 109,155 jumlah kematian berdaftar. Angka ini meningkat 13.2% berbanding yang dilaporkan pada 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Statistik ini tidaklah mengejutkan kerana Malaysia mempunyai peningkatan faktor-faktor risiko kardiovaskular dalam populasi diabetes, hipertensi, dislipidemia dan merokok.

IMG 20231021 WA0007

Menyedari hakikat tersebut, Persatuan Kardiologi Pantai Timur Malaysia (MECCS) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama ‘National Heart Association of Malaysia’ (NHAM) mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan ‘14th Asia Pacific Cardiology Update’ (APCU)@USM 2023 bertemakan ‘Embracing Key Advances in Cardiology’.
 
IMG 20231021 WA0000
 
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dato’ Dr. Zaini Hussin berkata, APCU merupakan medium terbaik untuk mengumpulkan pakar-pakar jantung dalam dan luar negara bagi membentangkan penemuan terbaharu dalam perawatan penyakit jantung.
 IMG 20231021 WA0004
 
“Beberapa tahun kebelakangan ini, APCU menjadi platform untuk mengemaskini garis panduan nasional dan antarabangsa dalam perubatan kardiovaskular selain menjadi medan perkongsian pengetahuan dalam kalangan petugas kesihatan berkenaan perkembangan dan penemuan terkini dalam bidang kardiologi seluruh dunia. 
 
IMG 20231021 WA0008
 
“Perkembangan ilmu perubatan bergerak amat pantas di seluruh dunia seiring dengan perkembangan teknologi dan internet. Oleh itu, Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai tenaga kerja dan infrastruktur kesihatan antara yang terbaik perlu berada di landasan yang tepat supaya tidak ketinggalan,” katanya yang mewakili Menteri Kesihatan Malaysia ketika merasmikan persidangan tersebut, hari ini.
 
IMG 20231021 WA0002
 
Tambah Zaini, para petugas kesihatan yang terlibat dengan penjagaan pesakit khususnya dalam bidang kardiologi perlu mengemaskini ilmu pengetahuan berkenaan pencegahan dan perawatan penyakit kardiovaskular. 
 
“Bersesuaian dengan tema utama APCU 2023 iaitu ‘Merangkul Kemajuan Utama dalam Kardiologi’, persidangan ini bersesuaian dan sangat relevan dengan revolusi semasa dalam pengetahuan perubatan serta teknologi perubatan.
 IMG 20231021 WA0001
 
“Sejak 10 tahun yang lalu, sejumlah besar penyelidikan dan ujian klinikal telah dijalankan dengan potensi untuk memberi kesan dan mengubah amalan semasa dalam kardiologi. 
 
“Justeru, pada persidangan kali ini, saya menyeru semua peserta untuk menghadam bukti dan inovasi terkini kerana kita perlu menerima kemajuan dan kemahiran baharu dalam amalan perubatan untuk memberikan rawatan yang lebih baik,” ujarnya lagi.
 IMG 20231021 WA0006
 
Zaini turut berharap agar APCU terus menjadi pentas pembelajaran berterusan yang sentiasa mengetengahkan ulasan pakar dan kemajuan terkini dalam bidang kardiologi.
 
Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin yang mewakili Naib Canselor USM pula mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran persidangan itu dan berharap agar pertambahan ilmu baharu dapat menyumbang serta dikongsi bersama dalam perubatan kardiovaskular.
 
“Saya percaya bahawa persidangan ini akan menjadi platform percambahan pengetahuan selain membimbing ke arah masa depan yang lebih sihat.
 IMG 20231021 WA0003
 
“Bersama-sama kita membuat perubahan dalam memerangi penyakit kardiovaskular,” katanya.
 
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Mantan Presiden NHAM, Profesor Dato’ Dr. Wan Azman Wan Ahmad; Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Izani Wan Mohamed; Penasihat '14th APCU@USM 2023', Profesor Dato’ Dr. Zurkurnai Yusof dan Pengerusi '14th APCU@USM 2023', Dr. Wan Yus Haniff Wan Isa. 
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 194