Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

'BACK TO BASIC' PERKUKUH PENGETAHUAN ASAS PERIOPERATIF FOKUS UTAMA ECPC

KOTA BHARU, KELANTAN, 28 Julai 2024 – 'East Coast Perioperative Conference (ECPC) - Back To Basic' merupakan platform untuk memperkukuh pengetahuan selain meningkatkan kompetensi dalam bidang perioperatif bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa terjaga.

IMG 20240728 WA0015

Persidangan yang diadakan buat julung kalinya itu telah dirasmikan oleh Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman di Hotel H Elite, semalam.

Dalam ucapannya, Nik Hisamuddin memuji usaha yang diambil oleh jawatankuasa penganjur sebagai langkah penting untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang perioperatif.

IMG 20240728 WA0005

IMG 20240728 WA0009

"Tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan persidangan ini untuk kali pertama.

"Meskipun persidangan ini diadakan di peringkat Pantai Timur, kehadiran peserta dari seluruh Malaysia merupakan pencapaian yang amat membanggakan," katanya.

IMG 20240728 WA0011

Nik Hisamuddin menekankan bahawa perioperatif merangkumi penjagaan pesakit sebelum, semasa dan selepas pembedahan.

"Oleh itu, penting untuk memperkukuhkan pengetahuan dalam bidang ini bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa terjaga.

IMG 20240728 WA0006

IMG 20240728 WA0013

"Prosedur pembedahan melibatkan risiko yang tinggi dan pemahaman mendalam tentang aspek perioperatif dapat membantu mengurangkan risiko komplikasi dan kecederaan," ujarnya lagi.

Beliau juga memaklumkan bahawa kemajuan teknologi dalam bidang pembedahan telah memberikan banyak faedah termasuk peningkatan kecekapan prosedur dan keselamatan pesakit.

IMG 20240728 WA0007

"Namun, penggunaan teknologi canggih harus disertai dengan pemahaman yang mendalam tentang prinsip asas penjagaan perioperatif untuk memastikan manfaat maksimum dapat diperoleh.

"Tema 'Back to Basic' yang diketengahkan dalam persidangan ini menekankan kepentingan kembali kepada prinsip-prinsip asas penjagaan perioperatif.

IMG 20240728 WA0008

"Aspek penting seperti penilaian pembedahan dan penjagaan keselamatan pesakit adalah kunci dalam mengurangkan risiko dan memastikan hasil pembedahan yang optimum. Kerjasama semua pihak sangat penting untuk memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit," jelasnya.

Selain itu, menurut Nik Hisamuddin, persidangan ini juga merupakan platform yang sangat bernilai untuk para peserta belajar, berkongsi pengalaman, dan memperkukuhkan kolaborasi profesional.

IMG 20240728 WA0014

"Saya berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang persidangan ini akan memberikan impak positif dalam usaha meningkatkan keselamatan pesakit," katanya.

IMG 20240728 WA0010

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Operasi, Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Ketua Jabatan, Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Maya Mazuwin Yahya dan Penasihat 'ECPC- Back To Basic', Dr. Wan Zainira Wan Zain.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 19